Membawang Hari Ini

Tuah Izzue, Zizan dan Johan

3

DEK kerana populariti yang dikecapi, tiga jejaka yang kian meningkat naik iaitu Izzue Islam, Zizan Razak dan Johan Asaari bakal menjelajah ke negara luar bersama peminat masing-masing.

Apatah lagi, ketiga mereka mengambil peluang itu untuk mengenali peminat dengan lebih dekat dalam suasana lebih santai.

Dilantik sebagai duta syarikat pelancongan Safir Go Travel, bakal terbang ke Zizan dan Johan akan menghiburkan bersama peminat melancong ke Abu Dhabi dan Dubai.

Sementara itu, Izzue Islam pula terbang ke Disneyland, Hong Kong dan Macau.

Ketika ditemui, masing-masing sudah tidak sabar untuk bercuti bersama peminat apatah lagi mereka mempunyai jadual kerja yang agak padat.

Menurut Izzue, percutian selama 6 hari 5 malam ini akan diadakan pada 15 hingga 20 Disember 2013.

“Ini kali pertama saya ikuti percutian seperti ini. Bagi saya ini adalah satu peluang keemasan buat saya untuk mengenali peminat saya dengan lebih dekat.

“Selain daripada itu, saya juga berpeluang melawat destinasi yang sebelum ini saya belum pernah pergi. Pelbagai aktiviti telah diatur dan saya amat teruja untuk ke sana,” katanya.

Dalam pada itu, mari kita ikuti cerita tiga bintang yang semakin berkilauan ini.

Izzue perluas bakat

Buat kali pertama, teraju utama Bunga Merah Punya, Izzue Islam bakal terjun ke dunia teater yang akan dipentaskan pada hujung September ini.

Izzue yang memegang watak utama dalam teater Maduku…Kalut mengakui penglibatannya kali ini secara tidak langsung dapat mencuba bidang baru.

“Agak seronok dan gementar. Lagipun ia percubaan pertama saya, risau dengan penerimaan penonton.

“Insya-Allah, saya akan buat sebaiknya kerana banyak perbezaan berlakon teater dengan drama,” katanya.

Selain itu, Izzue bakal muncul dengan beberapa filem seperti Hantu Tok Mudim, Ular dan Kami Histeria. Manakala April tahun depan, dia bakal muncul dengan filem Suamiku Ustaz.

“Satu lagi drama, Sahabat yang bersiaran pada 16 September lalu. Buat masa sekarang saya tumpukan perhatian lebih kepada teater.

“Sementara itu, Forteen akan keluar dengan album sulung tapi masih belum ada tajuk lagi,” kata Izzue.

Menurutnya, album tersebut mengandungi tujuh hingga lapan buah lagu dan empat lagu baru.

Antara lagu yang terkandung dalam album itu adalah Kita, Seperti Dulu dan Berdua Bersatu.

Hidup lebih terurus

Baru mendirikan rumah tangga empat bulan lepas dengan pengurusnya sendiri, Awin Nurin, pelakon dan penyanyi berusia 23 itu akui semakin bahagia.

Jelas Izzue, kehidupannya sebelum dan selepas berkahwin sangat berbeza apatah lagi urusan hariannya lebih terurus.

“Jika dahulu semuanya saya lakukan sendiri, kini isteri banyak membantu menguruskan jadual kerja saya.

“Saya rasakan lebih matang dan berdisiplin hal berkaitan dengan kerja,” ujarnya.

Perbezaan tersebut dapat dilihat melalui perwatakannya, Izzue berkata dia lebih bersikap terbuka dengan semua orang dan perubahan itu turut dirasai orang sekeliling.

“Mungkin hidup semakin teratur dan tidur pun sudah mengikut masa selepas bergelar suami.

“Alhamdulillah sakit pening kita sudah ada orang jaga, tidak seperti dulu,” jelasnya.

Ditanya mengenai penerimaan isterinya apabila Izzue dikerumuni peminatnya, dia berkata Awin bukan jenis yang mudah melatah atau cepat cemburu dengan situasi tersebut.

Tambahnya, begitu juga sebaliknya kerana peminat menghormati perasaan isterinya ketika mereka keluar makan berdua.

“Apabila peminat ingin bergambar, isteri memahami perkara ini dan sentiasa menyokong kerjaya saya,” katanya yang cukup bertuah dikurniakan isteri seperti Awin.

Menyentuh soal anak pula, Izzue menyerah semuanya kepada ALLAH SWT sama ada cepat atau lambat menimang cahaya mata.

“Buat masa sekarang ini, isteri belum ada lagi petanda mengandung. Namun saya sudah bersedia bergelar bapa dalam masa terdekat.

“Lagipun keluarga saya sendiri memang agak besar dan saya memang sukakan kanak-kanak,” jelas anak kelahiran, Kota Bharu, Kelantan itu.

Zizan semakin sibuk

Sementara itu, bagi pelakon dan pelawak, Zizan Razak kini baru sahaja tamat penggambaran untuk telemovie terbaru bersama Izara Aishah dan Ghaz Abu Bakar iaitu Namaku Ben bagi Astro Ria saluran 104.

Memegang watak sebagai Kamal, dia berkata jalan cerita agak berlainan dengan telemovie yang pernah dia lakonkan sebelum ini.

“Ia mengenai kisah percintaan pelajar kolej sehinggalah dalam satu kejadian, ada benda menghantui mereka. Apa yang menarik, ia menggabungkan unsur komedi dan seram,” kata Zizan.

Walaupun ia merupakan kali kedua bekerjasama dengan pelakon Vanilla Coklat itu, dia mengakui menyenangi cara kerja Izara.

“Izara seorang yang open minded dan suka berkongsi cerita. Dia juga bukan seorang yang sombong atau kedekut ilmu.

“Lagipun dia pelajar jurusan seni lakonan, lagi mudah untuk bekerjasama,” katanya yang pernah berlakon bersama dalam filem, KL Zombie.

Berbalik kepada cerita kebocoran filem KL Gangster 2 di internet, Zizan ternyata kecewa dengan pihak terbabit apatah lagi filem itu mengambil masa agak lama untuk disiapkan.

“Namun saya percaya rakyat Malaysia akan menyokong dan menonton filem ini di pawagam.

“Sejak filem pertama mendapat sambutan luar biasa, saya yakin filem kedua ini juga menerima maklum balas yang sama,” katanya.

Bercinta dengan Emma?

Jika sebelum ini, jejaka kelahiran Terengganu itu menafikan hubungan cinta dengan aktres jelita, Juliana Evans namun gosip itu terhenti apabila Juliana melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Dalam masa yang sama, sekali lagi Zizan dikaitkan bercinta dengan pelakon berwajah Pan Asia, Emma Maembong yang hangat diperkatakan di media sosial.

Walau bagaimanapun, dia menafikan perkara tersebut kerana hubungan mereka berdua tidak lebih daripada sekadar teman rapat.

Tanpa berselindung, Zizan juga mengakui bahawa dia turut bertemu Emma ketika Hari Raya Aidilfitri bulan lepas.

“Ya, saya ada jumpa Emma di Terengganu. Kami beraya bersama tetapi bersama teman lain.

“Lagipun ia bukan perkara besar kerana kami tinggal berdekatan. Tiada salah salahnya mengunjungi teman dari satu negeri,” katanya. Tambah Zizan, dia suka berkawan dengan pelakon Kau Yang Terindah yang itu bersikap matang dan mudah didekati.

“Saya tidak mahu fikir soal kahwin lagi, sebaliknya ingin tumpu pada kerjaya dan keluarga dahulu.

“Soal jodoh pula, saya masih mencari dan belum ada calon sesuai buat masa ini,” ujar Zizan.

Johan semakin laris

Semakin rancak menerima tawaran lakonan, pelakon dikenali dengan watak Botak menerusi drama Juvana itu kian laku di layar perak.

Bakal muncul dengan filem seram bertajuk Paku arahan P.Ramesh yang bakal ditayangkan pada Disember depan diterbitkan NSK Produsction Sdn Bhd.

Berganding dengan pelakon baru, Aisha Ilyas, Johan berkata dia telah meletakkan usaha yang maksima bagi menjiwai watak suami kepada pontianak.

“Paku agak berbeza berbanding filem genre seram yang lain dari segi CGI dan sinematografi.

“Malah ia menggunakan helikopter untuk mengambil shoot dari udara seolah-olahnya kita jatuh dari bangunan tinggi,” katanya yang juga berlakon dalam filem Tongkai dan Tujuh.

Selain itu, dia juga turut berlakon dalam filem Balada Pencinta yang akan ditayangkan bulan hadapan arahan Khir Rahman dan diterbitkan oleh Grand Briliance Sdn Bhd.

“Berpeluang berganding dengan nama-nama besar dalam industri perfileman seperti Wan Hanafi Su, Faizal Hussein dan Siti Saleha satu pengalaman berharga.

“Saya rasa cukup bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pengarah tersohor tempatan,” katanya turut menerima tawaran berlakon di bawah pengarah yang bagus seperti Rashid Sibir, Kabir Bhatia dan Raja Mukhriz.

Serah jodoh pada ALLAH

Sering dihambat dengan kisah percintaan bersama pelakon wanita, nama Johan sering menjadi perhatian apabila dikaitkan dengan beberapa artis wanita popular tempatan seperti Fasha Sandha dan Nabila Huda.

Baru-baru ini, nama Johan sekali lagi dikaitkan dengan penyanyi lagu Patah Seribu, Shila Amzah yang dikatakan menjalin hubungan cinta.

Namun Johan menolak kemungkinan tersebut kerana hubungan antara mereka sekadar kawan rapat sahaja.

“Saya akui hubungan kami agak baik sebagai sahabat apatah lagi keluarga kami saling mengenali.

“Dia ada ciri-ciri wanita idaman seorang lelaki namun hubungan kamu belum sampai ke tahap serius,” ujarnya.

Berpegang kepada ketentuan Ilahi, Johan berkata dia menyerah soal jodohnya kepada qada dan qadar.

“Saya percaya setiap pertemuan dan perpisahan di tangan ALLAH SWT.

“Lelaki baik akan dipasangkan dengan wanita yang baik dan setiap manusia dilahirkan berpasangan.

“Siapa sahaja jodoh saya, insya-Allah saya akan menerimanya dengan hati terbuka,” tegasnya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");