SEREMBAN – Akibat menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai tukang urut, 19 wanita warga Thailand ditahan Jabatan Imigresen negeri dalam satu operasi di sekitar bandar ini dan Port Dickson, kelmarin.
Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, kesemua wanita berusia 19 hingga 49 tahun itu ditahan dalam satu Operasi 6P bagi membanteras kegiatan berkenaan.
“Kita membuat pemeriksaan di sembilan rumah urut di sekitar Seremban, Port Dickson dan Senawang serta menahan seramai 19 wanita warga Thailand.
“Ketika serbuan, beberapa wanita sedang leka mengurut pelanggan di bilik-bilik yang disediakan di premis berkenaan,” katanya.
Menurutnya, wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut itu tidak mempunyai pas pekerja dan masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial.
“Kita juga menahan beberapa lelaki yang disyaki menjadi penjaga kepada wanita-wanita ini di premis berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Faizal Fazri berkata, pihaknya turut menahan lima wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan kerana di dapati bekerja secara haram di sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Nilai.
“Semua mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan kerana bekerja di kantin IPTA berkenaan tanpa permit kerja yang sah. Pemeriksaan mendapati kesemua mereka masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial tetapi bekerja secara haram di kantin itu,” katanya.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu dibawa ke Pejabat Imigresen di Senawang untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen kerana menyalahgunakan permit pekerjaan.
-sinar harian