Jenayah

2 jam perangkap mat gian

mat gian

DUNGUN – Rahsia peningkatan kes penyalahgunaan dadah membabitkan golongan belia di kampung ini terbongkar setelah polis berjaya menahan dalang utama yang disyaki terbabit menjadi pengedar.

Hasil risikan, polis narkotik Dungun diketuai Inspektor Mohd Ridhuan Ismail mengadakan operasi khas bagi memburu pengedar berkenaan lalu berjaya mengesan individu dicari ketika bersembunyi di sebuah rumah dekat sini.

Berikutan itu serbuan dilakukan ke lokasi terbabit lalu berjaya menahan suspek berusia 27 tahun pagi kelmarin.

Penemuan kira-kira 50 pil kemerahan disyaki dadah methampethamine dalam poket seluar suspek selepas pemeriksaan lanjut dilakukan menguatkan dakwaan dia bergerak aktif memasarkan barang larangan itu kepada penagih di kawasan berdekatan.

Pil kemerahan itu biasanya dijual kepada penagih dengan harga antara RM25 hingga RM35 sebutir dan nilai rampasan dianggarkan RM1,500.

Susulan penahanan suspek, polis melakukan perangkap dengan membawa suspek ke sebuah rumah berasingan dipercayai menjadi port penagih di kampung tersebut untuk menarik perhatian penagih lain agar berkunjung ke situ.

Selepas hampir dua jam menunggu, lima mat gian termasuk seorang daripadanya penagih perempuan berjaya diberkas ketika mereka tiba di rumah terbabit yang dijadikan port dadah untuk mendapatkan bekalan daripada suspek utama itu.

Selepas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati kesemua mereka positif dadah methampethamine.

Pengedar dadah berasal dari Pulau Serai itu ditahan reman untuk siasatan mengikut seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala lima lagi yang lain disiasat mengikut seksyen 15(1) akta yang sama.

Dia juga bakal menghadapi pendakwaan atas kesalahan penyalahgunaan dadah setelah positif methampethamine.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan tersebut.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");