Jenayah

85 syarikat dikenal pasti tipu pakej umrah

fbi_crimeKUALA PILAH – Sebanyak 85 buah syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes penipuan pakej umrah sejak 2009 hingga kini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek.

Beliau berkata, ia melibatkan tuntutan yang difailkan berjumlah RM6.9 juta.

Hasan yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah bagaimanapun tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan.

“Kita merasa dukacita kerana di sebalik ingatan kita kepada pengguna tetapi masih lagi ada yang tertipu. Soal mengerjakan umrah pun boleh mereka (syarikat terbabit) tipu kerana yang pentingnya mereka dapat keuntungan daripada itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus pemantapan penjaja dan peniaga kecil 2013 peringkat Negeri Sembilan di sini, Selasa.

Katanya, kementeriannya sedang menyiasat syarikat terbabit dan tindakan akan diambil jika terbukti mereka menyalahi Akta Perlindungan Pengguna.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pakej perkhidmatan umrah yang ditawarkan pada harga murah.

Beliau meminta mangsa penipuan pakej umrah supaya memfailkan aduan mereka kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau mengingatkan semua penjaja dan peniaga kecil agar sentiasa memperbaiki diri dan mengambil peluang dalam mempertingkatkan kemajuan diri dan perniagaan.

Golongan penjaja dan peniaga kecil perlu mengambil peluang memanfaatkan segala inisiatif yang disediakan kerajaan sama ada dalam bentuk perlindungan insuran berkelompok, pembangunan modal insan, pemodenan kawasan perniagaan serta menyokong segala program yang dirancang kementeriannya.

Katanya, penganjuran kursus itu merupakan antara usaha dan inisiatif kerajaan dalam memastikan penjaja dan peniaga kecil di negara ini bukan sahaja berdaya saing dalam bidang masing-masing tetapi juga berilmu serta mampu memajukan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");