Berita Hari Ini

Bajet 2014: Jangan laksana GST, kata MTUC

BAJET 2014

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan tiga perkara utama berkaitan kepentingan rakyat untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Belanjawan 2014, termasuk tidak melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata pelaksanaan GST akan memberi impak kepada golongan berpendapatan rendah dengan mengambil kira kos barangan dan perkhidmatan pengguna yang semakin meningkat saban tahun.

“Pengguna perlu menanggung cukai penggunaan jika GST dilaksana dan ia past akan membebankan golongan berpendapatan rendah meskipun bayarannya adalah kecil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dilapor berkata kerajaan sedang menjalankan kajian berkaitan GST bagi menilai impak terhadap kadar inflasi dan kaedah terbaik pelaksanaannya.

Beliau berkata pelaksanaan GST bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan merupakan satu daripada pendekatan jangka panjang kerajaan bagi meningkatkan hasil pendapatan negara.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata MTUC turut berharap Belanjawan 2014 yang dijadual dibentang pada 25 Okt ini mempertimbangkan pemberian bantuan Elaun Sara Hidup (COLA) sebanyak RM300 kepada pekerja sektor swasta yang berdepan tekanan berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Beliau juga meminta kerajaan mempertingkat kadar pelepasan cukai pendapatan individu menerusi Belanjawan kali ini selain mempertimbang pelepasan cukai tambahan sebanyak RM1,000 bagi mereka yang mempunyai anak pertama, kedua dan seterusnya.

Katanya, langkah itu bakal merangsang pertumbuhan ekonomi domestik kerana rakyat akan mula berbelanja lebih.

Mohd Khalid juga mengalu-alukan cadangan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia secara dua peringkat mulai tahun depan, yang dilihat sebagai pendekatan baik bagi mengimbangi kadar inflasi.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");