Berita Hari Ini

Bantu negeri hapuskan kemiskinan

GRAD

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memainkan peranan lebih dinamik menghapuskan kemiskinan di negeri dengan usaha berterusan menerusi memartabatkan pendidikan.

Baginda yakin UMK sebagai salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mampu menerajui, menyokong dan memperkasakan pendidikan bagi mempertingkatkan daya saing graduan.

Dalam titahnya, Baginda menyeru UMK membantu Negeri Kelantan untuk lebih maju ke depan dalam pelbagai aspek khususnya mengatasi masalah putaran kemiskinan ekonomi.

“UMK seharusnya unggul dalam menerajui pembangunan modal insan berteraskan pendidikan yang mantap bagi membangunkan negeri ini dan amat diharapkan dapat meningkatkan tahap kehidupan seluruh rakyat.

“Agenda pembangunan berkaitan sosio ekonomi di negeri ini dengan lahirkan lebih ramai usahawan dalam pelbagai bidang perlu diteruskan kerana ia selari dengan fokus utama UMK yang berteraskan keusahawanan walaupun universiti itu masih baru,” titah Baginda demikian ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Konvokesyen Ketiga UMK di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang juga Pro Canselor UMK; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Naib Canselor UMK, Datuk Raduan Che Rose.

Majlis konvokesyen selama dua hari itu menyaksikan 573 pelajar termasuk dua graduan Ijazah Doktor Falsafah dan lima graduan Ijazah Sarjana menerima ijazah masing-masing.

Dalam pada itu, Baginda turut bangga dengan kejayaan graduan yang berpunca daripada usaha serta sokongan ibu bapa dan pensyarah yang komited memberi bimbingan dan tunjuk ajar hingga menghasilkan kejayaan.

“Kejayaan yang membanggakan ini dicapai para graduan hari ini berkat kerjasama semua pihak yang berusaha membentuk masyarakat bertransformasi dan berbudaya tinggi seiring dengan wawasan negara maju menjelang 2020,” titah baginda.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");