MANCHESTER United di bawah kepemimpinan David Moyes memulakan aksi dengan kurang meyakinkan apabila sekadar terperosok di kedudukan ke-12 Liga Perdana Inggeris (EPL).
Hanya menang dua kali dan seri sekali membuatkan penyokong The Red Devils seluruh dunia mula resah dan panas punggung melihat pasukan kesayangan mereka berada di belakang kelab kurang ternama.
Namun, bekas pertahanan United, Gary Neville tetap meyakini Moyes dan percaya bekas pengendali Everton itu perlu diberi masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk membentuk skuad terhebat di Old Trafford.
“Jika anda ingat kembali tahun-tahun awal Sir Alex Ferguson (bekas pengurus), dia diberikan masa untuk membangunkan pasukan. Pada tiga atau empat tahun pertama di kelab, dia mendapatkan tekanan besar.
“Jangan diragui keupayaan Moyes. Masih banyak ruang buatnya mempelajari dan mengenali pemain serta struktur kelab. Saya yakin, Moyes tak ke mana-mana dan kekal bimbing United,” katanya
Neville akui, pemain United pasti terluka dengan penampilan terburuk mereka yang boleh disifatkan antara terburuk dalam tempoh 24 tahun.
“Mungkin banyak pemain yang akan pergi meninggalkan pasukan. Tapi percayalah, United akan memberikannya masa mencipta kembali legasi gemilang ditinggalkan Ferguson,” tegasnya.
– SINAR HARIAN