Kerajaan Perak sedia mendengar cadangan yang dikemukakan Jabatan Audit Negara berhubung pembangunan pusat peranginan Bukit Larut, dekat Taiping.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, sebelum ini, pihaknya menerima beberapa syor membangunkan pusat peranginan itu yang menjadi salah satu produk pelancongan di Perak.
“Pelbagai modul pembangunan dicadangkan antaranya mengikut kaedah separa kerajaan dan swasta, pelaburan swasta sepenuhnya atau pihak kerajaan mengambil-alih projek kereta kabel bagi memastikan keindahan alam sekitar di pusat peranginan Bukit Larut tidak tercemar.
“Kita juga bersedia berbincang dan mendengar pandangan Jabatan Audit Negara terhadap cadangan projek kereta kabel di Bukit Larut.
“Walaupun audit tidak dilakukan, kita tetap akan mengambil kira cadangan yang diberikan oleh jabatan terbabit sebelum melaksanakan projek ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Dewan Komuniti Batu 10, dekat Lekir, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Rashidi Ibrahim.
Sebelum ini, bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen pada sidang Dewan Rakyat memberitahu projek pembangunan sistem kereta kabel di Bukit Larut merupakan projek di bawah kerajan negeri dan bukannya di bawah Kementerian Pelancongan.
Projek pembangunan telah diluluskan pelaksanaannya dan diswastakan kepada Syarikat Taiping Cable Car Sdn Bhd.