Perak Hari Ini

Cadangan Sedia Bilik Berasingan Undang Reaksi Berbeza

mt

Cadangan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Khusairi Abdul Talib supaya Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pusat menyediakan bilik berasingan untuk proses pembuangan undi bagi memilih Majlis Tertinggi (MT) dan jawatankuasa bahagian mengundang pelbagai reaksi daripada beberapa calon yang bertanding pada pemilihan, Sabtu ini.

Menurut calon Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh, Datuk Shahrul Zaman Yahya, cadangan itu merupakan satu tindakan yang sistematik dan dilihat mampu melancarkan lagi perjalanan proses pengundian pada 19 Oktober nanti.

“Melalui pemerhatian saya, bukan tempat pengundian yang menjadi masalah utama tetapi banyak rungutan diterima berkaitan warna kertas undi yang sama hingga mengelirukan ramai perwakilan,” ujarnya kepada Peraktoday.com, hari ini.

Beliau berharap supaya pihak Jawatankuasa Pemilihan UMNO dapat mengatasi dengan kadar segera permasalahan itu agar proses pemilihan peringkat MT dan jawatankuasa bahagian berjalan lancar.

Ditanya mengenai harapannya pada pemilihan Sabtu nanti, Shahrul Zaman berkata, para pewakilan perlu memilih yang terbaik daripada yang baik.

“Sebarang keputusan pada pemilihan Sabtu ini perlu diterima dengan hati yang terbuka.

“Paling utama, pemilihan kali ini mampu membariskan kepimpinan yang terbaik di peringkat Pusat dan bahagian bagi meneruskan tradisi UMNO untuk membela rakyat dan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14),” katanya lagi.

Sementara itu, calon Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Hamizura Osman, berkata, tidak perlu disediakan dua tempat atau bilik pengundian yang berbeza kerana ia akhirnya akan menyusahkan para perwakilan.

Jelasnya, adalah lebih mudah jika pembahagian kertas undi diberi dalam tempoh masa yang berbeza.

Menurutnya lagi, kaedah mengundi itu sendiri sudah merumitkan dan jika cadangan itu dilaksanakan, ia pasti akan memburukkan lagi keadaan.

“Borang undian peringkat pertama dan kedua perlu diberi secara berperingkat, selesaikan satu persatu terlebih dahulu kerana proses pengundian sepatutnya lebih mudah bukan merumitkan para perwakilan,” katanya lagi.

Hamizura juga turut menyuarakan kebimbangannya terhadap proses pemilihan itu berikutan dengan keputusan yang berlaku kepada Pengerusi TEKUN, Datuk Hamidah Osman yang tewas dalam pemilihan sayap bagi jawatan Ketua Wanita UMNO Gopeng, Sabtu lalu.

Katanya lagi, kebimbangan itu timbul ekoran terlalu banyak prosedur yang tidak diikuti dalam pemilihan sayap tempoh hari hingga perwakilan keliru lalu menyebabkan undi rosak.

Namun begitu, beliau meletakkan harapan supaya pewakilan memilih calon yang layak dan bukan sahaja bijak berpolitik tetapi turut berjuang bagi bangsa Melayu dan parti.

Manakala itu, calon Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Zainol Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata adalah lebih wajar untuk jawantankuasa pemantau bahagian menyediakan bilik mengundi khusus untuk pengundi sahaja.

“Tempat mengundi itu harus tertutup supaya pengundi berasa tidak terganggu semasa proses pengundian berlangsung, sekaligus membolehkan para perwakilan membezakan kertas undian tersebut,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");