Imej selaku penjaring terbanyak dengan tujuh gol pada saingan Piala Malaysia musim ini sudah cukup meletakkan rasa bimbang kepada benteng pertahanan lawan setiap kali bola berada di kaki penyerang Pahang, Matias Conti.
Selain kemampuan menghasilkan gol, bekas pemain kelab Tristan Suarez, Argentina itu turut memiliki kelebihan melakukan umpanan yang baik kepada rakan terutama dibahagian serangan.
Bagi Conti, kejayaan menghasilkan gol adalah hasil kerjasama rakan sepasukan yang sentiasa tampil dengan semangat juang tinggi dan kesungguhan menebal semata-mata untuk kejayaan pasukan Tok Gajah.
“Kemahiran individu tidak sepenuhnya menjamin seorang penyerang itu mampu menghasilkan gol yang diharapkan, sebaliknya memerlukan sokongan rakan di bahagian tengah.
“Justeru, janji saya pada pertemuan separuh akhir bertemu Sarawak, Sabtu ini ialah untuk menyudahkan seberapa banyak peluang yang terhidang untuk kejayaan skuad Tok Gajah di gelanggang sendiri.
“Pahang memerlukan gol yang banyak sebagai bekalan sebelum berkunjung ke Kuching dan sekiranya misi berkenaan menjadi kenyataan, tidak mustahil kita akan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini,” katanya.
Dia dan rakan lain tidak dapat menilai kekuatan sebenar skuad Sarawak kerana belum pernah bertemu musim ini dan penilaian pasukan berkenaan hanya dibuat menerusi rakaman video selain analisis jurulatih Dollah Salleh.
Conti yang semakin serasi menetap di Kuantan tidak menafikan tanggungjawab merobek gawang lawan begitu berat dipikul terutama di peringkat separuh akhir ini.
“Tidak mustahil Tok Gajah dapat menewaskan Sarawak di tempat sendiri, rekod perlawanan Liga Super sebelum ini lebih banyak berpihak kepada kami walaupun mendapat tentengan sengit lawan.
“Mungkin kali ini rekod cemerlang di Stadium Darul Makmur akan berulang, persembahan mantap semua pemain dengan dibantu sokongan peminat, saya yakin kejayaan akan menyebelahi Pahang.
– Harian Metro