Berita Hari Ini

Dagangan pelbagai hala: Asean sahkan komitmen

Datuk-Hussein-Haniff-565x344

KUALA LUMPUR – Asean mengesahkan komitmennya untuk menegakkan sistem dagangan pelbagai hala, terbuka, tiada diskriminasi, saksama dan berasaskan peraturan sejagat yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan global dan pembangunan berkekalan.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Hussein Haniff berkata, Asean turut mengulangi gesaan untuk semua negara supaya menentang kecenderungan untuk kembali ke sistem lama ketika ekonomi bermasalah kerana ia mempunyai kesan negatif yang lebih besar, terutama bagi negara membangun.

“Oleh itu Asean menyeru Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan badan lain, termasuk Persidangan PBB bagi Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) supaya terus memantau dasar perlindungan serta menilai impaknya ke atas negara membangun.

“Kami juga menggesa negara yang lebih maju supaya memberi fleksibiliti yang perlu serta menunjukkan kesungguhan politik untuk memecahkan kebuntuan semasa dalam rundingan Doha supaya rundingan itu dapat dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Asean kini menunggu Persidangan Peringkat Menteri WTO kesembilan di Bali, Indonesia dari 3 hingga Disember.

Hussein berkata pada 2015, Asean menyasarkan untuk merealisasikan pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran yang meliputi kemajuan liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan serta integrasi pasaran modal.

Oleh itu, pelan tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) disasarkan untuk dilaksanakan sepenuhnya menjelang akhir 2015.

“Asean komited mengambil langkah-langkah konkrit untuk mencapai matlamat AEC.

“Kami juga bangga untuk memaklumkan bahawa kadar pelaksanaan keseluruhan Pelan Tindakan AEC kini sudah 79.4 peratus pada Julai 2013,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");