Sukan Hari Ini

DBKL wajib ganti Velodrom Cheras baru

cherasTIMBALAN Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad terkejut selepas mendengar Velodrom Kuala Lumpur, Cheras mungkin dirobohkan Disember depan.

Sebelum ini, Naim sedia maklum velodrom berkenaan akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek komersial apabila difahamkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual tapak berkenaan kepada pihak swasta.

“Menjadi tanggungjawab PKBM dalam memastikan kesinambungan pembangunan sukan berbasikal terus meningkat dan dijaga dari semua sudut, baik dari segi pembangunan atlet mahupun kemudahan yang ditawarkan.

“Jika benar dakwaan tersebut, saya minta pihak DBKL agar menggantikan Velodrom Cheras kepada yang baru menggunakan duit hasil dari penjualan tanah di kawasan tersebut dengan velodrom terbuka yang baru.

“Kemungkinan hampir RM100 juta tanah tersebut telah diswastakan oleh DBKL. Tanah yang diswastakan tersebut menjadi ‘mandatori’, jadi dah wajiblah kepada DBKL untuk menggantikan velodrom tersebut kepada yang baru,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, walaupun pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal membina velodrom tertutup kategori satu di Nilai seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 yang lalu, beliau melihat masih ada keperluan velodrom terbuka seperti di Ipoh dan Cheras dipertahankan untuk kegunaan atlet-atlet pelapis bagi tujuan latihan.

“Lebih mengelirukan saya, jika dakwaan Velodrom Cheras akan dirobohkan Disember ini, bagaimana pula atlet nak berlatih dan di mana kita hendak menganjurkan kejohanan-kejohanan peringkat remaja kerana Velodrom Nilai tidak siap lagi dan Velodrom Ipoh pula tidak sesuai atas faktor keselamatan.

“Saya berharap agar pihak-pihak tertentu dapat meletakkan kepentingan negara sebagai perkara utama melebihi segalanya. Ini kerana sukan berbasikal kini telah mula dihormati di mata dunia apabila kita berjaya melahirkan jaguh-jaguh pecut yang mampu bersaing di peringkat tertinggi seperti Olimpik dan Asia,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");