Membawang Hari Ini

Enggan mengalah

asfan1

Walaupun lagunya berjudul Terhenti Di Sini yang menjadi lagu tema drama bersiri Nora Elena lebih dikenali berbanding dirinya, penyanyi baru Asfan Shah bertekad untuk terus membina kerjaya agar peluang bergelar penyanyi terus terbuka luas untuknya.

Selain Terhenti Di Sini, single Tak Cuba Kembali juga berjaya meruntun jiwa pendengar apabila lagu berkenaan kerap dimainkan di stesen radio dan menjadi permintaan ramai.

Namun, jika penyampai radio menyebut nama Asfan, ramai yang tercari-cari siapakah orangnya kerana jarang dapat dilihat dia beraksi di kaca televisyen.

Asfan ketika ditemui baru-baru ini berkata, apa yang berlaku mungkin kesilapan teknikal yang berlaku pada syarikat pengurusan tempatnya bernaung dulu. Namun dia tidaklah menyalahkan mereka 100 peratus kerana sedar bukan dia seorang saja yang bernaung di bawah syarikat berkenaan dan ramai artis yang perlu diuruskan.
Enggan menuding jari kepada sesiapa, penyanyi berusia 29 tahun ini sedar kini dia tidak boleh fokus hanya pada satu kerja saja. Sebaliknya permintaan daripada ramai artis yang mahukan karyanya harus diberi perhatian.
“Niat asal saya menyertai bidang seni kerana ingin fokus terhadap nyanyian dan Alhamdulillah hampir semua single saya berjaya mendapat perhatian sehingga menjadi lagu tema drama.

“Pastinya apabila lagu dikenali pendengar mahu juga mengenali siapakah penyanyi lagu berkenaan dan apabila saya mengalami situasi lagu popular tidak seiring dengan diri yang masih tidak dikenali ramai membuatkan saya sedikit kecewa.

“Sering kali apabila bertemu peminat di luar mereka tidak tahu siapa saya, tetapi apabila mendengar lagu yang saya nyanyikan barulah masing-masing memberikan maklum balas positif dan memanggil nama saya,” katanya.

Enggan mengalah, pemilik nama Nor Rasfan Shah Shahrudin ini meletakkan tahun depan sebagai masa untuk bekerja keras dan mula fokus dalam penghasilan lagu untuk diberikan kepada artis lain disebabkan sudah ramai yang meminta.

“Apabila melihat perjalanan seni saya dalam nyanyian seperti suram saya tidak boleh mengalah dan perlu melakukan sesuatu, justeru melihat rakan-rakan artis yang sering meminta saya menghasilkan lagu buat mereka, rasanya sudah tiba masa saya melakukan perkara itu.

“Mungkin dengan cara ini juga sebagai langkah untuk saya lebih ke depan, bukan tamak tetapi saya harus buka mata bahawa dalam bidang seni kita tidak boleh hanya bertumpu pada satu bidang saja dan jika dirasakan bidang itu boleh membawa kita pergi lebih jauh apa salahnya diketengahkan,” katanya.

Asfan berkata, dia berkebolehan mencipta lagu tetapi sebelum ini lebih selesa menghasilkan lagu untuk diri sendiri.

“Apabila mengalami keadaan kurang dikenali saya perlu melakukan sesuatu dan berharap selepas ini peminat akan lebih kenal siapa dia Asfan Shah,” kata bapa kepada seorang cahaya mata ini.

Pernah menyertai beberapa pertandingan realiti televisyen seperti One In A Million dan MyStarz LG, Asfan turut memberanikan diri mencuba pertandingan Akademi Fantasia 2013 (AF) namun hanya layak sehingga ke peringkat konsert prelude 24.

Meskipun hanya bertahan di Top 24, Asfan mengakui mendapat peluang menimba ilmu hampir sebulan belajar di sana sama seperti peserta AF yang lain.

“Satu pengalaman yang menarik walaupun hanya sebulan. Memang itu yang saya mahukan menimba ilmu daripada orang-orang yang berpengalaman dalam bidang seni di samping berkongsi idea dengan rakan AF yang lain.

“Walaupun hanya sekejap peluang yang ada sangat bermakna untuk saya gunakan contohnya apabila menghadiri kelas bersama Najib Ali, dia memberikan banyak petua buat kami apabila berdepan dengan wartawan dan cara menjawab soalan mereka.

“Satu perkara yang harus saya praktikkan sebagai anak seni kerana pastinya bidang ini akan mempertemukan saya dengan media setiap masa,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");