Berita Hari Ini

Esscom dalam landasan betul

Datuk Mohammad Mentek

KOTA KINABALU – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang merupakan ejen penguatkuasa Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone) berada di landasan yang betul bagi merealisasikan wawasan kerajaan untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan rakyat negeri ini.

Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek berkata oleh itu tidak timbul soal kelewatan melaksanakan Esscom dan Esszone yang ditubuhkan sebaik sahaja berlakunya kes pencerobohan pengganas di Tanduo, Lahad Datu Februari lepas.

Sambil memperinci kronologi penubuhan Esscom dan Esszone, Mohammad berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memandang serius kejadian pencerobohan itu mengumumkan serta merta pewujudan zon keselamatan khas Pantai Timur pada 7 Mac lepas yang kemudiannya dikenali sebagai Esszone selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kawasan Esszone itu meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna membabitkan kawasan pesisir pantai sepanjang 1,733.7 kilometer,” katanya.

Mohammad berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada ketua-ketua operasi Petronas Wilayah Sabah dan Labuan di Wisma Petronas, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Petronas Sabah dan Labuan Mohamed Firouz dan Pengurus Kanan Petronas Wilayah Sabah dan Labuan Julita Untol.

Mohammad berkata Esscom pula diwujudkan bagi menyelaras penguatkuasaan dan pelaksanaan pelbagai program keselamatan kawasan Esszone pada 1 April lepas.

“Tidak sampai dua minggu, Esscom memperkenal beberapa teras strategi untuk merealisasikan wawasan murni kerajaan itu. Ini termasuk mengukuhkan kawalan keselamatan secara bersepadu, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat, merancang dan menyelaras penempatan semula serta memupuk semangat patriotisme.

“Saya sendiri yang dilantik sebagai Ketua Pengarah telah melakukan lawatan ke pos-pos keselamatan barisan hadapan di pulau-pulau pantai timur bagi meninjau kawalan keselamatan dan mendapatkan maklum balas bagi memantapkan lagi sistem pertahanan dan keselamatan kita,” katanya.

Mohammad berkata Ops Daulat yang dilancarkan ekoran kes pencerobohan Tanduo berakhir pada 29 Jun lepas dan diganti dengan Operasi Sanggah yang dikendalikan sepenuhnya oleh Esscom.

“Kita kini mempunyai dua batalion infantri (tentera) yang diletakkan di bawah pengawasan Esscom di kawasan Felda Sahabat Lahad Datu.

“Selain itu, Perdana Menteri mengumumkan pewujudan lima lagi batalion yang akan ditempatkan di kawasan Esszone, sekaligus menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menunaikan janji menjaga keselamatan dan kedaulatan negara khususnya Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Esscom turut menyediakan perancangan jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang bagi mengukuhkan lagi operasi Esscom termasuk menempatkan semula penduduk kampung air di Semporna, Sandakan dan Lahad Datu.

Mohammad berkata turut diberi perhatian ialah penambahan anggota keselamatan bagi mengawal kawasan Esszone, dari Kudat hingga ke Tawau.

Dalam hal ini, beliau berkata Esscom telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan sekitar 510 jawatan pelbagai peringkat termasuk anggota polis dan tentera untuk ditempatkan di kawasan zon keselamatan itu.

Katanya, tambahan jawatan itu penting bagi meningkatkan keberkesanan operasi Esscom bagi memastikan keselamatan rakyat Sabah sentiasa terjamin.

“Kita akan beri keutamaan kepada rakyat tempatan negeri ini untuk mengisi kekosongan jawatan termasuk kenaikan pangkat anggota polis dan tentera yang akan berkhidmat dengan Esscom.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita jangka dapat kelulusan daripada JPA seawal bulan depan,” katanya sambil menambah setakat ini Esscom hanya mempunyai 48 jawatan pelbagai peringkat termasuk ketua pengarah yang diluluskan oleh JPA.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");