Membawang Hari Ini

Fasa baru Marshanda

marshanda

SEBUT saja namanya, peminat tentu saja terbayangkan watak penuh emosi dan dramatik, yang sememangnya cukup sinonim dengan aktres ini.

Adriani Marshanda Irwan Yusuf atau lebih dikenali sebagai Marshanda, popular dengan beberapa sinetron seperti Putri Yang Terbuang, Aqso dan Madina, Benci Bilang Cinta dan Dari Sujud Ke Sujud, yang turut mendapat tempat di hati penggemar sinetron di Malaysia.

“Saya tidak sangka diterima oleh penonton dari Malaysia, saya anggap ini adalah bonus buat saya dan akan terus berusaha supaya tidak menghampakan peminat di sini,” katanya yang turut mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

Bagaimanapun, selepas berkahwin dengan pengacara MTV Indonesia, Ben Kasyafani dan melahirkan puteri sulungnya, Sienna Ameerah pada Januari lalu, Marshanda, lantas membuat keputusan untuk berhenti dari bidang seni.

Jelasnya, kesibukan menjaga anak serta menguruskan keluarga menyebabkan dia mengambil keputusan itu.

“Saya mula berlakon pada usia tujuh tahun hinggalah bergelar isteri. Saya jarang mempunyai masa dengan keluarga, sekarang ini apabila bergelar ibu, saya mahu lebih banyak masa dengannya.

“Saya tidak tahu sama ada untuk sementara atau selama-lamanya. Jangka masa penggambaran yang lama menyukarkan saya melaksanakan tanggungjawab dan ia menjadi penyebab utama saya berhenti berlakon.

“Apa pun, setakat ini saya merancang untuk kembali aktif berlakon apabila umur Sienna mencecah tiga tahun. Semuanya bergantung pada keadaan ketika itu. Kalau tiba-tiba saya hamil anak kedua, terpaksalah tangguhkan lagi hasrat untuk berlakon,” katanya.

Jadi penceramah

Walaupun tidak lagi aktif dalam bidang seni, jadual harian Marshanda masih padat apabila dia sibuk memenuhi undangan menjadi penceramah motivasi jemputan.

Menurut Marshanda, hasil dia mengikuti beberapa ceramah motivasi sebelum ini menyebabkan dia mampu untuk bercakap di depan peserta.

“Ia bukanlah berdasarkan kepada tahap pembacaan yang berkaitan psikologi semata-mata sebaliknya juga bergantung pada pengalaman saya ketika menghadiri ceramah motivasi.

“Kebanyakan ceramah motivasi yang saya hadiri banyak menceritakan mengenai kehidupan, komunikasi, terapi dan keibubapaan. Saya mahu kongsi pengalaman itu semua,” katanya.

Namun begitu, Marshanda mengakui bukan mudah menarik perhatian peserta supaya sentiasa mendengar ceramah.

“Saya masih berusaha menjadi penceramah yang dapat menyalurkan pengetahuan dan pada masa sama menimbulkan suasana tenang dan ceria,” katanya.

Di samping itu, katanya, dia kini dalam usaha mencari guru yang dapat memberi ilmu untuk menjadikannya penceramah yang baik kerana tidak mahu penyampaiannya kelihatan sama setiap kali berceramah.

“Ada peserta mengikuti program motivasi lebih daripada dua kali. Cabarannya, saya harus memberi kelainan setiap kali memberi ceramah, bimbang nanti mereka bosan,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");