Berita Hari Ini

Gagal laksana gaji minimum, tindakan tahun depan

duit la

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Anak Jaem berkata sebarang tindakan terhadap majikan yang gagal melaksanakan Dasar Gaji Minimum akan ditentukan, pada 1 Januari tahun depan.

“Kita tunggu sehingga selesai pelaksanaan sepenuhnya dahulu sebelum kita mula tentukan bentuk tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kolektif ke-11 antara Genting Malaysia Berhad dan Genting Malaysia Berhad Workers Union di sini hari ini.

Beliau berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara pada masa ini, yang dibantu Jawatankuasa Teknikal Perundingan, sedang membuat kajian tentang permohonan penangguhan yang dikemukakan beberapa majikan.

“Majikan yang memohon penangguhan, kita akan teliti. Jika alasan boleh diterima, kita akan benarkan (penangguhan), jika tidak kita akan tolak,” katanya.

Riot juga berkata, bagi majikan yang tidak membuat sebarang permohonan untuk penangguhan, ia dianggap sebagai telah sedia menerima dan melaksanakan dasar tersebut.

Menyentuh mengenai perjanjian kolektif antara Genting Malaysia Berhad dan persatuan pekerja syarikat itu yang melibatkan hampir 7,000 pekerja hotel Genting Malaysia Berhad, Riot berkata di bawah perjanjian tersebut, mereka akan dibayar gaji berdasarkan struktur gaji minimum setelah pelaksanaan gaji tersebut ditangguh selama sembilan bulan, sehingga semalam (30 September).

“Majikan dan wakil kesatuan bersetuju untuk mengambil pendekatan sistem ‘clean wages’ di mana caj perkhidmatan akan distrukturkan sebagai sebahagian gaji minimum yang memberi kesan positif jangka panjang kepada golongan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, ini dapat dilihat dari aspek pembayaran lebih tinggi bagi kerja lebih masa, kerja waktu cuti umum, bonus tahunan, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kadar premium untuk insurans kemalangan serta faedah lain.

Malah kesatuan sekerja Genting Malaysia Berhad turut mengadakan referendum di kalangan anggotanya untuk mendapat pandangan mereka sebelum bersetuju dengan sistem gaji minimum itu, tambahnya.

Dasar Gaji Minimum yang dilancarkan kerajaan pada 1 Januari lepas melalui Perintah Gaji Minimum 2012 menghendaki majikan membayar gaji pokok RM900 bagi Semenanjung dan RM800 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Dasar berkenaan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada sambutan Hari Buruh 1 Mei 2012 dengan kadar gaji minimum sektor swasta di Semenanjung ditetapkan RM900 sebulan atau RM4.33 sejam manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

Kadar gaji minimum itu telah dilaksanakan pada 1 Januari lepas, namun kerajaan telah membenarkan penangguhan pelaksanaannya bagi sektor perhotelan, sehingga 30 September 2013.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");