RAWANG – Sebanyak 13 gerai makan ala ‘mamak segera’ yang berniaga di hadapan kafe siber disita kerana menyumbang kepada masalah kebersihan dan menggalakkan pembiakan tikus serta lipas di sekitarnya.
Kebanyakan peniaga berasal dari India yang diupah warga tempatan untuk menjalankan perniagaan berkenaan sebagai menutup aktiviti kafe siber haram.
Tindakan sitaan diputuskan dalam mesyuarat teknikal penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana bimbang ia mula menjadi trend.
Menurut Penolong Penguatkuasa MPS, Megat Ainul Fadzlil Ainul Fadzil, sitaan bukan hanya mengambil kira aspek kebersihan tetapi mengundang masalah halangan apabila gerai dibina di laluan pejalan kaki.
“Sewaktu operasi sitaan dan rampasan, penguatkuasa jumpa lipas yang keluar dari gerai penjaja itu. Ini tak termasuk kekotoran di longkang berhampiran apabila mereka guna pendekatan mudah membuang sisa terus ke saluran itu.
“Operasi yang dijalankan secara berperingkat di kawasan zon bersih iaitu Bandar Country Homes, Desa Aman Puri, Prima Gombak, Sri Gombak Fasa 1 dan bandar Rawang merampas peralatan memasak terdiri dapur dan tong gas serta kerusi dan meja,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, tindakan tersebut adalah di bawah peruntukan Seksyen 46 (1) D Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu meletak barangan yang berkaitan dengan tred di tempat awam.
Dalam operasi berasingan, kedegilan pemilik nurseri yang berterusan meletakkan paket bunga di kaki lima di jalan utama Hospital Sungai Buloh membawa padah selepas MPS menyita jualan tersebut.
Megat Ainul Fadzlil berkata, tindakan amaran dan kompaun sebelum ini telah dikeluarkan namun pemiliknya tidak mengendahkannya, menyebabkan gangguan kepada pejalan kaki yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan kakitangan hospital.
Katanya, sitaan melibatkan 57 paket bunga di bawah akta sama dan denda sebanyak RM500.
-Sinar harian