JOHOR BAHRU – Seramai 80 warga asing diperiksa dalam Ops Sepadu 6P yang dilakukan Jabatan Imigresen Johor di rumah kongsi terletak Kampung Tiram Duku, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Daripada jumlah itu, seramai 34 orang terdiri daripada warga Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Bangladesh ditahan dalam serbuan yang dilakukan pada jam 1.30 pagi.
Ketua Penyelaras Ops Sepadu 6P Johor, Masri Adul berkata, dalam operasi berkenaan, ianya disertai oleh 61 anggota dan pegawai terdiri daripada Jabatan Imigresen, Ikatan Relawatan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pendaftaran Negara.
“Jumlah tangkapan yang dibuat adalah 28 warga Indonesia, dua warga Pakistan, tiga warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
“Kesemuanya berusia lingkungan tiga hingga 48 tahun. Kesalahan yang mereka lakukan adalah tinggal lebih masa di negara ini dan tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya, di sini semalam.
Masri berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat warga asing yang bertindak cuba untuk melarikan diri dengan memanjat bumbung bangunan sehingga terjatuh.
“Bagaimanapun, mereka yang tercedera ini mendapat rawatan sebagai pesakit luar dan mereka dibenarkan keluar dari hospital.
“Ada juga di antara mereka yang bersembunyi di dalam semak samun, terjun ke dalam parit selain bersembunyi di bawah lantai rumah kongsi terbabit,” katanya.
Katanya, kesemua warga asing terbabit ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tinggal lebih masa) dan Seksyen 6(1)(c) Akta yang sama (tiada dokumen perjalanan).
Masri memberitahu kesemua warga asing terbabit kemudiannya dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut.
Beliau turut memberi amaran bahawa pihaknya akan mengambil tindakan yang tegas ke atas majikan yang didapati mengajikan warga asing tanpa pas dan permit.
“Ops 6P ini akan dipergiatkan lagi sehingga bulan Disember ini,” katanya.
-Sinar harian