Membawang Hari Ini

Impian Five Minutes termakbul

Five Minutes

Sesudah Judika, Shae, ST12, Firman dan Tegar, kini tiba giliran kumpulan Five Minutes pula dibawa bertandang ke Malaysia untuk sesi bertemu peminat serta mengadakan promosi album terbaru mereka.

Dianggotai lima pria – Ricky Tjahyadi selaku pemain keyboards, Richie Setiawan (vokalis), Drie Warnanta (basis), Roelhilman (gitaris) dan Aria Yudhistira (dram) – kunjungan ini adalah yang pertama selepas 18 tahun Five Minutes ditubuhkan.

Mengetengahkan genre muzik pop rock, Five Minutes cukup berbesar hati dapat ke negara ini untuk menghiburkan peminat seterusnya melancarkan album mini mereka yang akan dipasarkan sekitar November ini.

Ricky berkata, selepas berbelas tahun Five Minutes aktif berkarya dalam industri muzik Indonesia dengan sembilan album sudah dihasilkan, baru sekarang mereka berpeluang datang ke Malaysia.

Ujarnya, ia satu pencapaian yang sangat baik bagi Five Minutes biar pun tempoh agak lama diambil mereka untuk bertandang ke negara ini bagi sesi promosi album dan bertemu peminat.

“Sebenarnya sudah agak lama juga kami menyimpan impian untuk datang ke Malaysia bertemu peminat serta mengadakan promosi album. Cuma sebelum ini tidak berkesempatan kerana terikat kontrak dengan syarikat rakaman dinaungi.

“Jadi, demi menghormati kontrak ditandatangani itu maka kami (Five Minutes) terpaksa pendamkan saja hasrat dalam hati dan sabar menunggu sehingga tiba masa yang sesuai.

“Sekarang selepas yakin Five Minutes sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri untuk terus memperjuangkan muzik kami dalam industri seni Indonesia, ia juga membuka peluang untuk Five Minutes ke Malaysia,” katanya.

Menurut Ricky lagi, walaupun selepas album kesembilan dihasilkan baru Five Minutes berpeluang ke negara ini, ia peluang yang amat disyukuri dan berbaloi buat mereka.

“Kami bersyukur kerana selepas sabar menanti akhirnya Five Minutes dapat juga mendekati peminat-peminat di Malaysia. Bahkan kini kami datang untuk mempromosikan single terbaru, Galau.

“Diharap semoga peminat Malaysia terhibur dengan single Galau dan terus memberikan sokongan mereka kepada kami,” kata Ricky.

Diedarkan Music Valley Malaysia (MVM) Production Sdn Bhd, antara lagu dimuatkan dalam album mini yang dilancarkan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur itu ialah Galau, Selalu Menunggu, Aku dan Kamu, Tambatan Hati, Itukah Dirimu, Selalu Menunggumu dan Fivers.

Mengulas mengenai peminat, Ricky berkata, memandangkan Five Minutes terlalu menghargai sokongan diberikan, mereka cukup menjaga tingkah laku dan bicara bersama peminat.

Katanya, sehingga kini Five Minutes belum pernah ada pengalaman bergaduh dengan peminat sama ada ketika mengadakan persembahan mahu pun di dalam laman sosial.

Memaklumkan Five Minutes juga aktif beramah mesra dengan peminat di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, hubungan baik cukup diutamakan.

Menurut Ricky, sama seperti saling menghormati satu sama lain dalam kumpulan maka langkah yang sama Five Minutes lakukan kepada peminat yang setia memberikan sokongan kepada kami.

Justeru ujarnya, hubungan baik yang dijaga itu juga membantu Five Minutes terus kekal bertahan di persada muzik Indonesia dari 1994 sehingga sekarang.

-Metro online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");