Perak Hari Ini

Isu Kalimah Allah: Semua Pihak Diminta Akur Dengan Keputusan Mahkamah Rayuan

isu allah

Umat Islam di Perak menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan, Isnin lalu yang menghalang majalah mingguan, The Herald mengguna-pakai kalimah Allah sebagai merujuk kepada ‘Tuhan’ dalam penerbitan edisi Bahasa Melayunya.

Keputusan membenarkan rayuan kerajaan serta sembilan perayu lain untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi 2009 yang diputuskan Isnin lalu selepas mengambil kira hujah faktor kekeliruan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Seorang kakitangan awam yang hanya dikenali sebagai Sazle, 35, berkata keputusan itu sememangnya wajar dan jika tidak dihalang pengunaan kalimah Allah, akidah masyarakat Islam di Malaysia akan menjadi semakin rapuh.

“Tidak dinafikan sejarah terdahulu, kalimah Allah telah digunakan dengan begitu meluas sejak zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW, namun penggunaan dalam keperluan harian ibadat mereka tidak bertujuan memurtadkan sesiapa.

“Tetapi, undang-undang serta budaya setempat di Malaysia bertentangan. Oleh itu, penggunaan kalimah Allah tidak sepatutnya berlaku kerana bertentangan dengan ilmu serta realiti,” katanya.

Ridauddin Daud, 24, juga menzahirkan rasa syukur apabila Mahkamah Rayuan melarang penggunaan kalimah yang menjadi khusus untuk umat Islam sahaja.

“Isu ini melibatkan sensitiviti umat Islam dan bagi saya, penerbitan itu sememangnya patut dihalang untuk memastikan keharmonian negara terus terjamin.

“Selalin itu, umat Islam juga perlu menghormati agama serta sensitiviti bangsa lain bagi mengelak berlakunya perkara yang boleh mengancam dan menggugat keamanan negara,” ujarnya yang turut berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang bangkit dalam mempertahankan kalimah Allah.

Tambahnya lagi, semua pihak seharusnya berfikir secara kritis serta tidak melakukan provokasi berhubung isu tersebut.

Sementara itu, Syed Muhammad Abdillah Syed Omar, 26, pula menyifatkan keputusan mahkamah itu sememangnya tepat dan harus diterima dengan hati yang terbuka oleh semua pihak.

“Seharusnya kita sedar bahawa isu yang melibatkan agama sangat sensitif apatah lagi selepas penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan penganut Islam dibangkitkan.

“Umumnya, seluruh dunia mengetahui kalimah Allah adalah sinonim dengan ajaran Islam tetapi apabila isu ini dibangkitkan, ia menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Malaysia yang akhirnya dibimbangi boleh menjejaskan akidah umat Islam,” jelas Syed Muhammad Abdillah lagi.

Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit The Herald yang menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan, namun kerajaan disaman oleh pihak gereja berkenaan selepas merasakan hak mereka dilanggar di dalam perlembagaan.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh The Herald.

Pada 10 September lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan The Herald untuk menghalang kerajaan dan Jabatan Agama Islam enam negeri untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");