KULIM – Penduduk Taman Kenari meminta kerjasama TNB membaiki semula pagar di jana kuasa (sub stesen) yang rosak akibat diceroboh pelajar sekolah yang sering melepak di kawasan itu.
Seorang jurutera, Mohd Idham Iskandar, 32, berkata, sebelum ini pagar yang ada sekeliling jana kuasa itu berada dalam keadaan baik sehingga dirosakkan dan dijadikan tempat pelajar sekolah ponteng setiap hari.
Katanya selain pelajar lelaki, pelajar perempuan turut berada di kawasan itu.
“Pihak sekolah seharusnya bersikap peka dan jangan mengambil sikap berdiam diri. Perkara ini bukan baru. Pelajar sekolah berdekatan akan berkumpul di kawasan jana kuasa itu setiap hari pada jam 9 pagi sehingga tamat waktu sekolah.
“Kami pernah membuat pemeriksaan di kawasan itu dan menemui kotak rokok, bungkusan berisi air daun ketum, botol minuman keras dan plastik berisi gam. Saya minta guru sekolah berdekatan membuat pemantauan terhadap masalah ini. Jangan bersikap lepas tangan dengan alasan masalah itu berlaku di luar sekolah mereka,” katanya.
Adun Kulim, Chua Thiong Gee berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai masalah itu dan pergi melawat ke kawasan jana kuasa TNB yang dimaksudkan.
Katanya, pihak terlibat seharusnya membaik pulih pagar di sekitar kawasan itu dengan segera bagi memastikan ia tidak diceroboh dan dijadikan tempat pelajar sekolah ponteng dan melakukan aktiviti tidak sihat.Menurutnya pelajar terlibat berusia antara 15 hingga 17 tahun.
Katanya, pihak sekolah seharusnya memandang serius masalah tersebut sebab pelajar terlibat akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penghujung tahun ini.
“Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) seharusnya mencari pendekatan supaya masalah ini dapat dibendung. Pengawasan guru sekolah penting untuk memastikan kawasan itu tidak dijadikan sarang bagi pelajar sekolah melakukan perlakuan maksiat.
“Untuk itu juga, saya minta kerjasama TNB supaya pagar jana kuasa itu dibaiki. Pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama polis diminta membuat rondaan bagi mengekang salah guna dadah kalangan pelajar sekolah,” katanya.
-Sinar harian