Isu Panas

Jawatan nombor 2: Saya terbuka jika dicalon

tuan ibrahim

KEHANGATAN Muktamar Pas ke-59 sudah terasa bahangnya terutama apabila jawatan timbalan presiden mula menjadi “rebutan” walaupun calon yang dikatakan akan bertanding tidak mengumumkan sebarang keputusan.

Parti itu juga dalam tempoh terdekat ini bakal diuji dalam sebuah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Limau, Kedah – kerusi yang boleh dianggap kubu kuat Pas.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian Online, JAMILAH HAMZAH bersama-sama Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim bagi mengupas kedua-dua acara penting ini kepada Pas.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh manakah Datuk melihat perkembangan Muktamar kali ini?

TUAN IBRAHIM: Mesyuarat agung di kawasan telah pun berjalan, jadi setakat ini kita sedang menghadapi mesyuarat agung di peringkat kawasan dan negeri-negeri.

Saya tengok keseluruhannya 99 peratus berjalan dalam keadaan yang baik dalam suasana ukhwah, berjamaah dan sebagainya.

Memang ada satu dua kawasan yang ada sedikit masalah iaitu masalah teknikal dalam peraturan dan perlembagaan parti yang kita kena patuhi. Jadi jika ada perlanggaran sikit dengan peraturan kita minta diadakan mesyuarat agung semula supaya ia berjalan dengan baik.

Kita tidak terima aduan yang melalui duit, rasuah dan sebagainya.

Walaupun kita benarkan parti berkempen, namun setakat ini tengok kempen yang tak terlalu agresif, hanya yang berlaku kempen dalam Facebook. Saya ibaratkan seperti orang tengok bola, penonton lebih pandai daripada pemain.

Banyak aduan yang dikeluarkan tapi saya ingat itu perkara biasa dalam parti.

SINAR HARIAN ONLINE: Muktamar kali ini juga menggunakan garis panduan baru, iaitu calon dibenarkan promosi diri, jadi apa pandangan Datuk?

TUAN IBRAHIM : Ada dua perkara, di peringkat Pusat memang setuju garis panduan ini. Kita adakan garis panduan ini supaya Muktamar berjalan ikut garis panduan.

Soal yang kedua itu mungkin soal mengajak debat di mana meletakkan calon di atas pentas untuk dinilai.

Saya fikir ada yang setuju, OK, tetapi apabila kita letak calon berdebat atas pentas sesama sendiri yang nak menilainya hanya 100 – 200 orang, ia tidak adil kerana yang datang pun bukan daripada pewakilan.

Saya lebih setuju calon kita dinilai daripada kemampuan seorang calon bukan hanya duduk atas pentas, setengah jam atau sejam di atas pentas, tetapi kita nilai latar belakangnya, tengok apa dia buat, pengorbanan dan perjuangannya.

Itulah yang perlu dinilai, bermakna penilaian itu bersifat berterusan tidak hanya dalam hanya tempoh masa pedebatan. Itu yang memberi makna sepenuhnya kepada penilaian.

Ia bagus, saya lihat ia sangat positif. Dulu kita tak ada peraturan, Pas pun sudah berkembang, ahli kita masuk pun berbagai. Kita ada peraturan, tapi peraturan itu kita tak guna tak ikut, tak guna kita ada peraturan.

Jadi garis panduan ini untuk memastikan peraturan itu diikuti supaya apabila timbul masalah kita boleh rujuk peraturan yang sedia ada.

SINAR HARIAN ONLINE: Kita lihat jawatan Timbalan Presiden menjadi isu hangat yang diperkatakan, adakah Datuk rasa jawatan itu wajar dipertandingkan?

TUAN IBRAHIM: Pas mengamalkan demokrasi. Semua jawatan dibuka untuk pencalonan hanya jawatan presiden tidak ada pencalonan.

Jawatan timbalan itu nampaknya banyak nama yang diangkat. Jadi saya fikir dalam demokrasi parti kita menghormati pencalonan daripada kawasan hanya terpulang kepada jawatan yang dicalonkan itu sama ada beliau nak terima atau nak tolak.

SINAR HARIAN ONLINE : Bagaimana sekiranya Datuk dicalonkan sebagai Timbalan Presiden? Sebelum ini juga dilaporkan Datuk telah mendapat pencalonan daripada kawasan di beberapa negeri.

TUAN IBRAHIM: Bagi saya bergantung kepada jumlah pencalonan itu.

SINAR HARIAN ONLINE: Selain Mohamad Sabu (Mat Sabu), pada pandangan Datuk siapa lagi yang layak tanding jawatan itu?

TUAN IBRAHIM: Sebenarnya semua layak, dari segi kelayakan dalam parti ini sebenarnya. Sama ada ulama, profesional atau ahli parti, semua layak untuk bertanding. Ketiga-tiga kategori ini layak mengikut syarat.

Jika kita lihat di peringkat negeri, ada banyak tokoh yang muncul yang menang terdiri daripada Exco kerajaan, menteri besar yang diterima oleh orang ramai.

Jadi bagi pihak parti, kita rasa mereka perlu diberi penghargaan untuk menerima mana jawatan yang sesuai mengikut tuan punya diri sebagai AJK atau kepimpinan tertinggi.

SINAR HARIAN ONLINE: Mengapa jawatan Timbalan Presiden Pas begitu menjadi fokus menjadi Muktamar kali ini?

TUAN IBRAHIM: Sebenarnya setiap kali Muktamar, jawatan itu akan menjadi fokus berbanding jawatan naib presiden kerana melibatkan tiga orang.

Jawatan timbalan ini hanya melibatkan satu jawatan yang menjadi rebutan dan ada pertandingan.

Sebelum ini, saya juga bertanding timbalan tetapi tidak menang. Tidak menang tidak mengapa, kita teruskan perkhidmatan kita. Mat Sabu pun pernah bertanding jawatan itu tapi dia pun pernah kalah. Walaupun kalah, beliau tetap terus setia bersama parti.

Jadi pada kita, pertandingan hanya memberi peluang kepada perwakilan untuk memilih dan kita tidak rasa kecewa jika kalah.

Saya sendiri pun tidak pernah mengundi diri saya walaupun saya bertanding. Saya juga tidak pernah berkempen bahkan saya jumpa perwakilan supaya memilih orang lain yang lebih layak.

Bagi kita jawatan itu bukan benda untuk direbut, bahkan saya tak pernah ambil satu sen pun duit kerana untuk pertandingan dan tidak pernah lantik agen untuk kempen bagi saya. Masing-masing nak kempen itu, suka-suka dialah.

Cuma kita kena jaga adab. Adabnya kita boleh setuju dengan orang yang kita nak tetapi jangan burukkan orang lain, jangan rendahkan atau perlekehkannya dan sebagainya. Cukup kita beritahu orang yang kita suka.

Jadi dalam Pas kita buat peraturan begitu, dia tak boleh komen orang lain.

SINAR HARIAN ONLINE: Politik negara bakal dihangatkan kembali dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau. Umum mengetahui kawasan itu adalah antara kubu kuat Pas. Jadi, apa perkara baru yang akan digunakan Pas pada PRK kali ini?

TUAN IBRAHIM : Fokus Pas di Sungai Limau untuk mempertahankan kemenangan. Penduduk di kawasan Dun Sungai Limau telah mengenali Allahyarham Ustaz Azizan (Tan Sri Azizan Abdul Razak) sebagai menteri besar. Jadi kita tengok dalam konteks PRK kali ini kita akan ambil tiga faktor.

Pertamanya faktor calon. Pas akan cuba mengenengahkan calon yang dikenali kepada pengundi tempatan.

Selain itu soal masa depan, kebajikan – apa manfaat kepada pengundi dengan mengekalkan Pas di Sungai Limau, walaupun kita tidak lagi memerintah (Kedah) tapi sekurang-kurangnya penduduk dapat merasai sewaktu kita memerintah di sana.

Ketiga ialah oleh kerana Sungai Limau menjadi PRK ke-2 selepas PRU13, maka ia akan menjadi mercu tanda kepada rakyat.

PRK kali ini berlangsung di kala berlangsungnya Pemilihan BN dan diikuti Muktamar Pas di pertengahan bulan November. Jadi sekurang-kurangnya ia meredakan sedikit polemik dalaman parti untuk kita lihat masalah ini sebagai cabaran bersama.

Jadi bagus juga PRK diadakan di waktu ini, saya fikir kita akan duduk bersama sebab pemilihan di dalam Pas ini adalah pemilihan dalaman, semua jentera parti akan fokus untuk kemenangan Pas pada PRK ini.

Kita juga telah mendapat senarai calon lapan orang, kalau tak silap saya hanya seorang calon daripada Muslimat.

SINAR HARIAN ONLINE: Hubungan Pas dengan PKR dan DAP memang tidak boleh lari daripada perbezaan pendapat dalam isu agama. Bagaimana Pas mengendalikan situasi ini?

TUAN IBRAHIM : Di peringkat PR, kita ada Majlis Pimpinan yang akan memutusakan dasar yang dipersetujui bersama.

Di waktu yang sama kita ada perkara yang kita akui tidak bersetuju, sebab itu Pas kita bertahaaluf iaitu kerjasama politik.

Di mana kita menghormati dasar perjuangan setiap parti, jadi Pas menghormati DAP, DAP menghormati PKR dalam perkara yang berbeza pandangan.

Jadi, perkara yang sama kita buat sebab dalam memorandum bersama, yang berbeza kita saling hormat-menghormati hak dalam setiap parti politik.

SINAR HARIAN ONLINE: Isu Tahaaluf Siyaasi tidak pernah lari daripada Pas, jadi apakah sebenar yang digariskan dalam Tahaluf Siyaasi sehingga Dewan Ulama mahukan ia dikaji semula? Apakah yang diberi penekanan dalam Tahaaluf Siyaasi ini sebenarnya?

TUAN IBRAHIM: Tahaaluf Siyaasi ini adalah kerjasama politik. Dalam Pas sebagai dasar sebagai Islam apa yang kita hendak buat perlu ada syarat-syaratnya di mana Pas perlu mematuhinya.

Jadi di antara kita melahirkan Tahaaluf ia mesti memberi contoh yang baik kepada bukan Islam, dapat terjemahkan Islam sebagai rahmat, dan dapat mengurangkan ketakutan mereka kepada Islam serta ruang dakwah kita yang semakin luas.

Melalui Tahaaluf Siyaasi juga, “win-win situation”dimanfaatkan. Kita untung, mereka yang mengadakan tahaaluf juga untung.

Dalam Multaqa Ulama baru-baru ini, Dewan Ulama bukan mencadangkan Pas untuk keluar daripada PR cuma minta supaya Pas menyemak perjalanan Tahaaluf agar tidak bercanggah dengan syarak.

Jadi kita fikir ini positif sebab Dewan Ulama adalah sayap yang besar dalam parti, ia mencadangkan dalam bidangnya. Saya fikir ini ia positif.

Di dalam Multaqa itu, Dewan Ulama memang tak minta keluar daripada PR.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");