Keadaan di Makkah Al Mukaramah sudah semakin sesak dan hanya tinggal 13 hari sahaja lagi untuk umat Islam melakukan ibadah haji yang bermula dengan wukuf di Arafah.
Banyak jalan di bandar Al Haram ini sudah mula ditutup dan puluhan ribu jemaah dari seluruh pelusuk dunia kini dilihat berjalan kaki dan menaiki bas kecil yang dikenali sebagai ‘coaster’ untuk ke Masjidil Haram.
Kebanjiran umat Islam yang mengunjungi Masjidil Haram untuk melakukan tawaf dan saei diilihat semakin meningkat pada setiap waktu.
Walaupun terpaksa bersesak-sesak, mereka tetap memenuhi rukun-rukun ibadah yang telah ditetapkan.
Krew Perak Today yang mengunjungi Masjidil Haram untuk melakukan solat Subuh berjemaah sempat merakamkan situasi di sana.
Menurut rekod pihak TH, sehingga hari ini, jemaah haji Malaysia sudah mencapai 16,584 orang dan kesemua jemaah yang berada di Madinah sejak awal bulan September sudah masuk ke Makkah.
Hari ini, dua lagi penerbangan akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang membawa jemaah Malaysia.
Tinggal lagi 13 penerbangan yang masih belum berangkat ke Tanah Suci dan setakat ini, 51 penerbangan sudah pun selamat membawa jemaah Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji pada musim ini.