Berita Hari Ini

Jentera Berat Diguna Cari Mangsa Banjir Lumpur – Polis

banjir

CAMERON HIGHLANDS: Pasukan mencari dan menyelamat pada Jumaat menggunakan empat jentera berat bagi mengesan seorang wanita Indonesia yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam, Ringlet di sini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata jentera berat terbabit diguna untuk mengalih dan mengorek timbunan lumpur di kawasan yang dikenal pasti oleh Unit Anjing pengesan K9 selain membersihkan lumpur di kawasan kejadian.

“Kita juga memperluaskan kawasan operasi meliputi jarak 5.7 kilometer dari tempat mangsa dihanyutkan,” katanya kepada pemberita di lokasi, Jumaat.

Wan Mohd Zahari berkata pihaknya juga akan mendapatkan bantuan unit menyelam pasukan bomba dan penyelamat bagi mencari mangsa di kawasan jeram sungai serta kawasan yang dalam.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang juga pekerja kebun sayur di sini membabitkan enam pegawai dan 88 anggota daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan Angkatan Tentera Malaysia, katanya.

Dalam kejadian 1 pagi Rabu lepas, dua orang maut akibat lemas, manakala seorang lagi meninggal dunia kerana serangan jantung dalam tragedi banjir kilat yang menenggelamkan 80 kediaman itu.

Kejadian berpunca daripada limpahan air Sungai Bertam susulan pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar di hulu sungai berkenaan.

Sementara itu, Wan Mohd Zahari menafikan dakwaan segelintir penduduk bahawa pihak berkuasa lambat mengeluarkan amaran sebelum pelepasan air dari empangan.

Beliau berkata pihaknya mengarahkan pasukan kereta peronda polis pada 11.40 malam (Selasa) untuk memberitahu setiap kediaman penduduk mengenai pelepasan air yang akan dilakukan pada 12.30 tengah malam.

“Polis turut menggunakan siren dan pembesar suara di setiap kawasan kediaman sepanjang perkampungan Lembah Bertam untuk mengarahkan penduduk berpindah,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");