Berita Hari Ini

JPN semak kad pengenalan pengawal

zahid hamidi datoh

SUBANG – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diminta menjalinkan kerjasama dengan semua syarikat pengawal keselamatan bagi menyemak kad pengenalan pengawal keselamatan yang bekerja di bawah syarikat tersebut.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, sebelum ini dilaporkan terdapat 20 kes pengawal keselamatan menggunakan kad pengenalan palsu dan penyemakan harus dilakukan bagi masalah ini.

“Seramai 20 pengawal keselamatan yang didapati bersalah sebelum ini telah pun dihukum dan dipenjarakan.

“Melihatkan perkara itu, saya meminta supaya JPN terus memantau dan menyemak semula kad pengenalan pengawal keselamatan di semua syarikat bagi menentukan kesahihannya,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu telah mengarahkan agar diadakan penapisan dan penilaian semula terhadap syarikat pengawal keselamatan yang ada di negara ini.

“Penilaian semula perlu dilakukan dengan meletakkan beberapa kategori. Mana-mana syarikat didapati tidak memasukkan elemen-elemen yang ditetapkan lesennya perlu dibatalkan.

“Penilaian semula ini dilakukan bertujuan untuk menjaga piawaian sesebuah syarikat pengawal keselamatan,” katanya.

Beliau juga menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan KDN.

“Saya akan umumkan jika penapisan dan penilaian semula ini dilakukan dan kita sedar mungkin ini adalah periuk nasi buat mereka namun pada masa yang sama mereka juga perlu tahu bahawa piawaian yang ditentukan KDN perlu dipatuhi.

“Saya tidak akan berkompromi kepada syarikat-syarikat yang tidak mengikut peraturan ini,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lepas, pegawai operasi Ambank cawangan Subang Jaya, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak pengawal keselamatan terbabit ketika membuka peti besi di bilik kebal bank itu di Jalan USJ 2, Subang Jaya.

Rentetan itu, Kementerian Dalam Negeri membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan terbabit kerana gagal mematuhi syarat Akta Agensi Persendirian.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");