Perak Hari Ini

Hujan Lebat Punca Air Parit Buangan JPS Penuh

sawahKementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menafikan dakwaan pihaknya menyalurkan bekalan air hingga melebihi had ke petak sawah yang diusahakan petani di Parit J dan Parit Ismail 3, dekat Bagan Serai antara 28 Ogos hingga 13 September lalu.

Jurucakap Unit Komunikasi Korporatnya berkata, pada waktu kejadian, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  Daerah Kerian belum lagi menyalurkan bekalan air  ke kawasan tersebut.

“Oleh itu, tidak timbul isu bekalan air melebihi had ke petak sawah seperti yang didakwa oleh petani kerana pada tempoh aduan dibuat, JPS masih belum lagi membekalkan air ke kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar kepada Peraktoday.com.

Jelasnya lagi, berdasarkan rekod hidrologi, hujan turun dengan lebat di kawasan Bagan Serai dan beberapa tempat di daerah Kerian ini pada setiap hari secara berturut-turut selama dua minggu iaitu bermula dari 28 Ogos hingga 13 September lalu.

Beliau berkata, taburan hujan harian antara 60mm hingga 100mm telah direkodkan hingga menyebabkan air dalam parit buangan pada waktu tersebut sentiasa penuh.

“Pada tarikh itu juga, keadaan air laut pasang tinggi dan air yang terdapat dalam petak sawah adalah air hujan yang turun sebelum tarikh bekalan air disalurkan.

“Bagi kerja menyelenggara pintu air utama pula, ada kakitangan JPS ditugaskan untuk menjaga pintu air utama saliran yang dimaksudkan petani di parit buangan tersebut,” tambahnya lagi.

Menurutnya, kakitangan tersebut akan mengawal pintu air serta membuat kerja pembersihan sampah-sarap yang tersangkut pada perangkap sampah secara berjadual setiap hari.

Justeru, pihak JPS katanya, tidak menafikan ada segelintir petani yang secara sukarela membantu membuang sampah-sarap yang masuk dalam perangkap sampah di pintu air tersebut.

Pada 13 September lalu,  Sinar Harian melaporkan kira-kira 50 pesawah di Parit J dan Parit Ismail 3, di sini bimbang benih anak padi yang baru ditanam oleh mereka dan tumbuh di kawasan sawah seluas 50 hektar musnah ditenggelami air.

Wakil pesawah, Muslan Hanafiah, 37, mendakwa, masalah seumpama itu dialami mereka sejak bermulanya musim tengkujuh dua minggu lalu.

Menurutnya, keadaan tersebut berlaku berpunca daripada air hujan tidak dapat dialirkan keluar ke sungai berdekatan disebabkan sistem parit buang sempit.

Masalah itu dialami petani apabila tiba musim penanaman padi.

“Kami ada mengadu kepada Jabatan Pertanian, bagaimanapun pegawai jabatan terbabit mengatakan, benih padi musnah kerana pesawah gagal menanam padi mengikut jadual ditetapkan.

“Kami akui tidak tanam benih padi ikut jadual ditetapkan, namun kami percaya kerosakan itu sebenarnya berpunca daripada kemasukan bekalan air melebihi had ke dalam petak sawah,” katanya.

Muslan berkata, pada musim penanaman kali ini, kebanyakan pesawah bakal menanggung kerugian lebih besar memandangkan majoriti mereka menggunakan benih padi kebal yang hanya memerlukan sedikit air pada peringkat awal tumbesaran.

Menurutnya, apabila anak padi mula tumbuh, air yang mengalir ke sawah dan bertakung di dalamnya menenggelamkan anak padi.

Katanya, situasi itu menjadi mimpi ngeri buat pesawah kerana benih padi akan mati akibat terlebih air.

“Selain masalah gelung air dan parit sempit, pintu air utama yang jarang diselenggara memburukkan lagi keadaan kerana sampah sering memenuhi perangkap sampah yang dipasang.

“Pesawah membersihkan terpaksa membersihkan sendiri sampah itu, namun penyelenggaraan pintu air dan naik taraf sistem perparitan perlu dilakukan untuk memudahkan kami,” katanya.

Zulkifli Saad, 44, pula berkata, petani akan menanggung kerugian besar sekiranya masalah tersebut tidak diselesaikan segera.

Katanya, dia berharap pihak berwajib seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian meninjau masalah mereka itu.

Sementara itu, Adun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan ketika ditemui berkata, JPS Kerian, Jabatan Pertanian dan IADA perlu meneliti semula sistem perparitan di kawasan terbabit bagi mengelak pesawah rugi besar.

“Pihak bertanggungjawab perlu lebih peka terhadap masalah pesawah di sini memandangkan mereka hanya bergantung harap pada tanaman padi diusahakan,” katanya.

 

 

 

 

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");