Berita Hari Ini

Kajian PSPTN ambil kira pandangan masyarakat

1

SANDAKAN – Kerajaan sedang melaksanakan kajian semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dengan mengambil kira pandangan masyarakat bagi memastikan pelaksanaannya relevan dengan keperluan semasa.

Ketua Penyelidik Program Kajian Semula PSPTN Prof Dr Mohamad Kamal Harun berkata maklum balas umum dikutip menerusi Program Tinjauan Aspirasi Masyarakat yang dijalankan di seluruh negara sejak 20 Oktober lepas dan berakhir Selasa depan.

“Melalui tinjauan itu, kita ingin mendapatkan apakah yang diinginkan oleh masyarakat dalam pengajian tinggi negara berdasarkan tujuh teras utama PSPTN, sekali gus membantu kita memantapkan teras terbabit,” katanya ketika ditemui Bernama ketika Program Tinjauan Aspirasi Masyarakat di Kampus Sekolah Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah, di sini hari ini.

Tujuh teras utama itu ialah meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti; menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran; memperteguh penyelidikan dan inovasi; memperkasa institusi pengajian tinggi; mempergiat pengantarabangsaan; membudayakan pembelajaran sepanjang hayat; dan mengukuh sistem penyampaian Kementerian Pendidikan.

Mohamad Kamal berkata PSPTN dilancarkan enam tahun lepas dan kini memasuki fasa kedua dengan kajian semula dilaksanakan, selaras dengan perkembangan semasa pengajian tinggi dan perubahan faktor ekonomi, sosial, teknologi, politik dan polisi.

Katanya ini juga sesuai dengan penggabungan antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menjadi Kementerian Pendidikan.

“Ini bagi mewujudkan satu pengajian yang tersusun dan teratur dari peringkat sekolah hinggalah ke pengajian tinggi,” katanya yang juga timbalan naib canselor Universiti Malaysia Kelantan.

Katanya kajian semula itu dilaksanakan sejak Mac lepas dan dijangka selesai Jun tahun depan.

Mohamad Kamal berkata selepas tinjauan dilakukan, semua data serta pandangan dikumpulkan dan diklafikasikan mengikut tujuh teras utama PSPTN.

Beliau berkata hasil laporan lengkap kajian semula PSPTN itu akan dihantar ke peringkat kementerian dan apabila diluluskan kelak, cadangan ini akan mendasari sistem pengajian tinggi negara.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");