Pencarian bakat di peringkat akar umbi melibatkan kanak-kanak berusia sekitar tujuh hingga 12 tahun untuk menjadi atlet pelapis negara sedang dilaksanakan di pelosok negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M.Saravanan berkata, program itu dijalankan melalui beberapa fasa bermula dengan ujian fizikal untuk mengukur komponen kecergasan, stamina, ketangkasan, kelenturan dan stabiliti.
“Seterusnya program ‘Multi Lateral’ yang melibatkan pergerakan asas kemahiran lokomotor dan stabiliti untuk menyiapkan diri atlet-atlet muda sebelum pengkhususan sukan dimulakan,” katanya menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).
Bung Moktar bertanyakan usaha kerajaan dalam membantu belia luar bandar untuk turut sama terlibat dan berpeluang meneroka industri sukan negara.
Saravanan menambah, kementerian juga menyediakan program pembangunan Skuasy yang dilaksanakan di 10 negeri bermula tahun ini hingga 2016.
Katanya lagi, kementerian juga melaksanakan program pembangunan badminton yang dikendalikan Datuk Misbun Sidek dan Jailani Sidek, dengan fokus melahirkan pemain pelapis dalam ranking dunia.
Terdahulu, Saravanan melahirkan rasa sedih dengan kehilangan atlet lumba basikal Terengganu Mohamad Asmu’i Ali, 20, yang maut akibat digilis van pengiring setelah terjatuh di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Batu Tiong, Pulau Serai.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi semalam, ketika mangsa bersama sekumpulan 16 lagi atlet dalam misi kayuhan latihan dari Kuala Terengganu menuju Kuantan sebelum menyertai kejohanan Sapura Kencana Criterium Series di litar Sepang, Ahad ini.
– Bernama