Berita Hari Ini

KDN Setuju Tubuh Unit Khas Tangani Masalah Pemerdagangan Orang

Datuk-Dr-Wan-Junaidi-Tuanku-Jaafar

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan satu badan atau unit khas dengan perjawatan khusus bagi menangani masalah pemerdagangan orang.

Timbalan Menteri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata cadangan itu wajar dilaksanakan dan menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perbendaharaan untuk meluluskan jabatan atau agensi untuk tujuan berkenaan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (AOAM) 2007.

“Sebenarnya, semenjak saya dilantik menjadi timbalan menteri saya telah mengadakan dua mesyuarat untuk berbincang apakah masalah yang dihadapi dalam mengendalikan tugas-tugas di bawah peruntukan undang-undang ini. “Ternyata sekali mengambil kira apa yang disebut oleh pihak ketua audit negara kita bersetuju bahawa apa yang dicadangkan itu wajar dan patut dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Noraini ingin tahu tindakan susulan yang diambil oleh KDN berikutan cadangan Jabatan Audit Negara berhubung penubuhan sebuah badan khusus selain daripada penambahan peruntukan dan perjawatan tetap bagi menambah baik usaha kerajaan d membanteras pemerdagangan orang. Sementara itu, Wan Junaidi berkata tarikan terkini masyarakat luar terhadap Malaysia adalah mereka beranggapan boleh membina kehidupan di negara ini.

Katanya, selagi Malaysia mempunyai daya tarikan termasuk industri pelancongan yang semakin rancak serta masyarakat tempatan yang terlibat dengan aktiviti itu, jenayah pemerdagangan orang akan sentiasa berterusan.

“Ada kalangan yang datang ini mengatakan bahawa mereka sendiri mangsa kepada pemerdagangan orang tetapi sebenarnya pendatang tanpa izin. “Dalam hal ini kita kena kenal pasti siapakah mangsa dan datang sini sebagai pendatang tanpa izin yang sengaja buat cerita mereka jadi mangsa,” katanya.

Menurut Wan Junaidi, dari 1 Jan hingga 18 Sept tahun ini, tahanan di bawah Perintah Perlindungan Interim (IPO) di Rumah Perlindungan Wanita Kota Kinabalu ialah Filipina (39), China (enam), Indonesia (lima), Malaysia (tiga) dan Vietnam (satu) manakala di bawah Perintah Perlindungan Individu (PPO) adalah Filipina (17), Indonesia (sembilan), dan Vietnam (satu).

Di rumah Perlindungan Wanita Kuala Lumpur pula, tahanan di bawah IPO ialah warga Vietnam (151), China (51), India (sembilan), Nepal (tiga), Myanmar (satu), Filipina (tiga), Kemboja (satu), Malaysia (satu), Indonesia (130), Thailand (12), Pakistan (empat), Bangladesh (dua) dan masing-masing seorang warga dari Uzbekistan, Uganda dan Sri Lanka.

Yang ditahan di bawah PPO di rumah perlindungan itu ialah warga Indonesia (78), China (30), India (tiga), Vietnam (42), Thailand (14) dan masing-masing seorang warga dari Indonesia, Uganda, Myanmar, Kemboja dan Sri Lanka.

Di Rumah Perlindungan Wanita Johor Baharu tahanan di bawah PPO iaitu India dan Indonesia masing-masing tiga, Malaysia (dua) dan masing-masing seorang warga dari Sri Lanka dan Vietnam.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");