Berita Hari Ini

Kerajaan Buat Perancangan Teliti Sebelum Laksana GST- Abdul Wahid

Datuk Seri Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat perancangan yang teliti sebelum melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata ini dapat dilihat daripada beberapa pakej yang disediakan kerajaan sebagai langkah mengurangkan impak pelaksanaan GST.

“Sebagai contoh, (kerajaan) memberikan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia)tambahan RM300 dalam tahun pertama pelaksanaan GST ini.

“Kita juga bakal menambah BR1M daripada RM500 kepada RM650 setahun, dan kepada mereka yang berpendapatan antara RM3,000 sehingga RM4,000, kita berikan mereka BR1M RM450.

“Dan untuk mereka yang berpendapatan pertengahan, kita adakan juga banyak program di mana, sebagai contoh, pelepasan cukai pendapatan perseorangan sebanyak RM2,000. “Ini antara pakej ‘off-set’ untuk membantu rakyat mengalami struktur percukaian baharu ini,” katanya ketika ditemu bual dalam program Soal Jawab terbitan TV3 malam RAbu.

Program itu dikelola Pengarah Eksekutif, Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad Datuk Ahmad A. Talib.

Sambil menegaskan GST dikecualikan daripada barangan makanan seperti beras, gula, tepung, ayam, ikan dan daging, Abdul Wahid berkata kadar yang ditetapkan kerajaan adalah munasabah iaitu hanya enam peratus.

Beliau berkata kerajaan sudah memaklumkan tentang pelaksanaan GST sejak 2006 dan akan menggunakan tempoh 17 bulan mulai sekarang untuk memperjelas perkara itu bagi membolehkan semua pihak, termasuk syarikat, bersiap sedia melaksanakannya.

Sambil meminta pelaksanaan GST tidak dipolitikkan, Abdul Wahid berkata GST adalah cukai yang adil kepada semua pihak.

Ditanya sama ada peniaga akan mengambil kesempatan daripada pelaksanaan cukai baharu itu, beliau berkata kerajaan menyediakan beberapa mekanisme bagi memantau perkara berkenaan terutama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");