Berita Hari Ini

Kerjasama awam-swasta bantu usahawan

KERJASAMA

SEMASA keadaan ekonomi lembab dan negara berdepan defisit perbelanjaan, kerajaan perlu memudahkan dasar berhubung perniagaan dan menggalakkan kerjasama awam-swasta bagi membantu pertumbuhan keusahawanan yang akhirnya menjadi enjin ekonomi negara.

Pandangan itu dikongsi pegawai tinggi kerajaan dari lima negara di Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Ke-4 2013 (GES 2013) di Kuala Lumpur, minggu lalu, semasa forum Membina Ekosistem Keusahawanan Rancak dihadiri wakil dari Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Vietnam, Cambodia dan Singapura.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mewakili Malaysia dalam forum itu menekankan keperluan bantuan seimbang kepada usahawan bagi mengelakkan mereka terlalu bergantung kepada kerajaan.

“Sikap terlalu selesa boleh menjadi halangan besar kepada Malaysia untuk mempromosikan keusahawanan.

“Mencapai keseimbangan adalah penting, kerana bahaya jika terlalu berlebihan memberi bantuan. Di negara ini, jika kita tolong terlalu banyak, ada yang akan berterusan mahukan pertolongan dan tidak akan berjaya dalam hidup (tanpa bantuan),” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Perdagangan AS Penny Pritzker berkata, dalam keadaan belanjawan negara agak mencabar, sektor awam dan swasta perlu berkongsi risiko kewangan dan mencari jalan untuk memperluas akses pembiayaan terutama dalam menjamin pinjaman kepada perniagaan kecil.

“Sektor swasta adalah enjin keusahawanan (tetapi) tugas kerajaan untuk menyediakan persekitaran bagi menggalakkan keusahawanan,” katanya.

Cipta budaya boleh terima kegagalan.

Beliau juga menekankan langkah penting untuk menyokong keusahawanan iaitu dengan mencipta budaya yang membolehkan usahawan untuk gagal dan mencuba semula, pelaburan kerajaan dalam penyelidikan, memperbaiki akses kewangan kepada perniagaan kecil dan menggalakkan usaha sama untuk berkongsi idea dan amalan baik.

Dalam forum sama, Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Lim Hng Kiang berkata, negaranya mengamalkan pendekatan holistik dalam membina ekosistem keusahawanan dengan menghasilkan persekitaran mesra perniagaan yang membawa kepada budaya keusahawanan.

Menurutnya, cabaran terbesar usahawan Singapura adalah saiz pasaran domestik yang kecil, menyebabkan mereka terpaksa bersaing di peringkat antarabangsa pada tempoh awal perniagaan untuk pasaran lebih besar.

“Kerajaan Singapura membantu ekosistem keusahawanan dengan memperluas akses kewangan, program mentor dan jaringan perniagaan. Kami menyediakan dana awal untuk menyokong perniagaan baru dan memulakan kerjasama awam-swasta untuk membantu syarikat baru dalam pelbagai sektor,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");