Membawang Hari Ini

Konsert ketuhanan Ramli di Melaka

ramli sarip

Papa Rock rancang undang Maher Zain, M Nasir jayakan persembahan Journey Of Light awal 2014

Penyanyi rock, Datuk Ramli Sarip, merancang menganjurkan sebuah konsert khas, yang menampilkan pelbagai konsep muzik khususnya berkaitan agama dan ketuhanan, di Melaka, awal tahun depan.
Dikenali sebagai Journey Of Light, pertunjukan itu dijangka turut menghimpunkan ramai artis terkenal, antaranya Maher Zain, kumpulan Raihan serta penyanyi dan komposer, Datuk M Nasir.

“Kita merancang agar konsert ini diselitkan dengan unsur dakwah, kesedaran dan ketaatan kepada agama serta pencipta agar ia mampu memberi manfaat kepada setiap peminat yang datang menyaksikan persembahan” Ramli Sarip, Penyanyi

Menurut penyanyi yang dikenali sebagai Papa Rock ini, konsert itu juga dirancang diadakan dalam kawasan tertutup, bagi membolehkan penonton memberikan perhatian pada setiap persembahan.

“Kita merancang agar konsert ini diselitkan dengan unsur dakwah, kesedaran dan ketaatan kepada agama serta pencipta agar ia mampu memberi manfaat kepada setiap peminat yang datang menyaksikan,” katanya.

Bangkit kesan sejarah

Ramli berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, di kediaman rasminya di Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Ramli baru-baru ini dianugerahkan darjah kebesaran Melaka iaitu Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk. Ia sempena sambutan ulang tahun ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Mengulas mengenai pemilihan Melaka bagi konsert berkenaan, Ramli berkata, ia selaras kedudukan negeri itu sebagai pusat pengembangan Islam pada masa silam, selain bagi membangkitkan kesan sejarah yang hebat dalam jiwa penonton.

Selit elemen dakwah

Penyanyi berimej rambut panjang dan popular menerusi lagu Kamelia bersama Sweet Charity itu yakin pendekatan pelbagai muzik dalam konsert khas anjurannya mampu diterima peminat.

“Kami akan menyelitkan elemen dakwah di sebalik nyanyian, termasuk kemungkinan menyampaikan lagu Musafir Rindu, yang bertujuan mengingatkan usia kita yang semakin hampir ke penghujungnya,” katanya.

Ramli sememangnya antara artis yang sering mengetengahkan mesej ketuhanan menerusi lagu atau albumnya, termasuk Bukan Kerana Nama yang diterbitkan pada 1986 dan Ziarah Seni (1994).

Info: Ramli Sarip

* Penyanyi ini muncul bersama Sweet Charity menerusi album Sweet Charity pada 1979, Pelarian (1980), Sejuta Wajah (1981), Penunggu (1982), Batu (1983), Koleksi (1984) dan Berita Gempa (1985).

* Dia kemudian bergerak secara solo dan merakamkan lebih 12 album solo – Ramli Sarip (1985), Perjalanan Hidup (1987), Istilah (1988), Seni dan Suara (1989), Warisan (1989), Rentak Hidup (1991), Syair Timur (1997), Alive (1999), Raja Rock (2002) dan Kalam Kesturi (2002).

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");