SUNGAI PETANI – Lapan daripada 22 murid Sekolah Kebangsaan Batu 4, Jalan Jeniang, Gurun yang terhidu gas beracun dalam kejadian petang semalam masih mendapatkan rawatan di hospital berikutan kejadian itu.
Daripada jumlah itu, enam orang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dengan empat ditempatkan di wad dan dua murid ditahan untuk pemerhatian, manakala dua lagi dimasukkan di wad Hospital Yan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Tajul Urus Md Zain berkata dalam kejadian 5 petang itu, 22 murid Tahun Dua dan Tiga sekolah itu serta guru besar, Che Rohani Murad, 52, dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas dan muntah-muntah.
Katanya, kini hanya enam murid yang masih menerima rawatan di HSAH dengan dua lagi di Hospital Yan, manakala bakinya hanya menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang.
“Guru besar sekolah itu pun telah dibenarkan pulang. Guru besar itu memang tidak sihat. Kejadian itu berlaku berikutan kerja-kerja menyembur racun di tapak semaian berhampiran sekolah itu,” katanya kepada pemberita ketika melawat murid-murid terbabit di HSAH hari ini.
Tajul Urus berkata beliau dimaklumkan bahawa murid yang masih dirawat di hospital dijangka dibenarkan pulang petang ini.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri supaya membuat laporan kejadian itu bagi memastikan kes seperti itu tidak berulang.
“Ini bukan kali pertama kes seperti ini berlaku. Kerajaan negeri menganggap kes ini serius kerana melibatkan ramai murid. Jabatan juga sudah buat laporan polis. Saya minta PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) buat mesyuarat dan maklumkan pengusaha tapak semaian itu supaya kerja-kerja menyembur racun dibuat bukan pada waktu persekolahan,” katanya.
Katanya beliau berharap pihak yang terbabit dengan penyemburan racun di tapak semaian itu supaya segera menghentikannya.
“Sekolah itu hari ini beroperasi seperti biasa. Setakat ini tiada masalah serius kepada pelajar terlibat. Cuma kita tak nak ia berulang lagi,” katanya.
Seorang murid yang masih menerima rawatan di wad HSAH, Izzati Rosli, 8, berkata ketika kejadian dia dan beberapa rakannya berada di dewan sekolah itu sebelum mereka tiba-tiba merasa pening setelah terhidu bau busuk lalu muntah sebelum dibawa ke hospital, katanya.
Seorang lagi pelajar, Mohd Alif Mohd Arman, 9, berkata ketika kejadian dia merasa pening secara tiba-tiba setelah terhidu bau busuk. –
– Bernama