Perak Hari Ini

Lebih 50 Peratus Muka Baru Terajui Sayap UMNO Perak

PERAK TODAY 1

Keputusan rasmi pemilihan ketiga-tiga sayap UMNO Perak menyaksikan lebih 50 peratus kemenangan berpihak kepada calon-calon muka baru, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Khusairi Talib.

“Perjalanan mesyuarat semalam berjalan dengan lancar dan para perwakilan juga dapat menerima keputusan dengan baik.

“Selain penyandang mengekalkan jawatan yang disandang, keputusan pemilihan kali ini juga memperlihatkan pencapaian yang begitu baik apabila muka-muka baru diketengahkan untuk memimpin pergerakan sayap Wanita, Puteri serta Pemuda UMNO,” ujarnya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, pertikaian perwakilan sayap Pemuda Bahagian Gopeng membabitkan lima cawangan yang menyatakan keahlian mereka tidak sah dan dihalang daripada menyertai persidangan berjaya diselesaikan dengan kadar segera.

“Isu ini telah dapat diselesaikan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri iaitu dua hingga tiga hari lalu dengan mengkaji keahlian kelima-lima cawangan Pemuda Bahagian Gopeng itu.

“Saya telah menghantar nota kepada Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan mereka telah mengeluarkan surat yang membenarkan perwakilan dari kelima-lima cawangan ini menghadiri mesyuarat semalam,” tegasnya.

Beliau turut mengulas keputusan seri yang berlaku untuk jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng di mana ianya masih dalam siasatan, sekaligus mengatur kaedah sesuai bagi membolehkan keputusan dicapai.

Mengenai masalah undi rosak yang terlalu banyak berlaku di Bahagian Tanjung Malim, beliau berkata, wujud kekeliruan antara kertas undi serta tulisan yang tidak memaklumkan dengan jelas antara undian sayap di peringkat bahagian dan Pusat.

“Semua perwakilan akan dibekalkan dengan dua kertas undi di mana apabila ianya perlu dilipat untuk dimasukkan dalam kotak undi antara bahagian dan Pusat.

“Keadaan ini sekaligus mengelirukan mereka hingga salah memasukkan kertas undi di dalam kotak undi yang telah ditetapkan,” jelas Mohd Khusairi.

Beliau memberitahu, sebanyak 34 undi rosak dilaporkan bagi pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tanjung Malim dan pihak perwakilan perlu mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Saya harap perwakilan akan lebih berhati-hati dan kemungkinan Ibu Pejabat UMNO akan memberi arahan-arahan baru bagi mengatasi masalah kekeliruan di kalangan perwakilan itu,” ujarnya.

Secara keseluruhan bagi 24 bahagian yang bertanding pergerakan Pemuda UMNO, 17 muka baru mengisi jawatan Pemuda termasuk dua daripadanya menang tanpa bertanding, manakala empat bahagian jawatan Ketua Pemuda yang menang bertanding .

Keputusan pergerakan Puteri UMNO pula menunjukkan 16 perwakilan Ketua Puteri menang tanpa bertanding, apabila lima daripadanya merupakan penyandang jawatan dan 11 adalah muka baru untuk bahagian-bahagian negeri.

Bagi pergerakan Wanita, Ketua bahagian yang menang tanpa bertanding terdiri daripada 12 perwakilan di mana lapan daripadanya muka lama yang mempertahankan jawatan, manakala empat daripadanya adalah muka baru.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");