Berita Hari Ini

LGBT tidak boleh dihalalkan

LGBT

GEORGETOWN – Trend hubungan songsang atau dikenali lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dilihat semakin meningkat di negeri ini, demikian menurut Pengurus Program Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang (FHDA), Christine Low.

Menurutnya, kajian itu dilakukan oleh sebuah universiti tempatan dengan kerjasama beberapa sukarelawan dari luar negara.

“Terdapat banyak faktor meningkatnya jumlah LGBT, antaranya adalah wujudnya kumpulan sokongan yang mana menyuarakan hak LGBT ini dan sekali gus membuatkan mereka lebih berani,” katanya.

Sementara itu, bagi Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohamad Affandy Yusof menegaskan, LGBT tidak boleh dihalalkan untuk wujud di negara ini.

Menurutnya, kebimbangan sebenarnya sudah mula tercetus apabila ada pihak yang menyokong kumpulan ini berani bersuara ke hadapan untuk menuntut hak mereka.

“Apabila kita benarkan kumpulan ini bersuara, kita perlu sedar di luar sana terdapat beratus persatuan dan kumpulan yang menyokong LGBT dan mereka bila-bila masa boleh masuk campur dalam negara kita sekiranya tidak dibendung.

“LGBT yang terang-terangan salah di sisi agama sebenarnya hanya menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh dan musnah,” katanya.

Mohamad Affandy berkata, hanya individu yang tidak mempunyai pegangan agama membenarkan LGBT dibolehkan dalam kehidupan.

“Bukan agama Islam sahaja, begitu juga bagi Buddha dan Hindu, agama mana yang membenarkan pasangan seks sesama jantina?, disebabkan itulah saya menegaskan hanya orang tidak beragama membenarkan hubungan sejenis ini,” katanya.

Pilih seks cari pendapatan

Christine berkata, terdapat beberapa faktor berlakunya LGBT dalam kalangan masyarakat di sini termasuk kekurangan kasih sayang dan faktor didikan keluarga.

Masalah membelenggu golongan transgender seperti mak nyah ialah mereka banyak diketepikan sekali gus menyebabkan peluang mereka untuk membina hidup berkurangan.

“Sehingga kini Pulau Pinang mempunyai kira-kira 1,600 pekerja seks dan 40 peratus daripadanya adalah mak nyah.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan yang elok sehingga menyebabkan memilih bidang seks untuk memperoleh pendapatan, kalau ada pun hanyalah butik perkahwinan yang mengambil mereka bekerja, namun berapa banyak butik perkahwinan di sini,” katanya.

FHDA juga menjalankan kajian luar terhadap lelaki, wanita dan transgender yang menjadi pekerja seks.

Tegas Christine, bukan mudah mengatasi masalah sosial berkenaan kerana setiap kali masalah berjaya diselesaikan, akan ada masalah baru yang muncul.

Namun kesabaran perlu untuk membawa golongan ini hidup kembali dalam keadaan normal.

Menurutnya, FHDA terpaksa mendekati golongan transgender dalam tempoh tiga tahun untuk membuatkan mereka selesa dan yakin.

“Terdapat perubahan yang dapat dilihat apabila kita cuba mendekati mereka termasuk di tempat kami sendiri, ada dalam kalangan transgender yang meluahkan rasa untuk bersolat Jumaat, dan saya kata ya pergi, tetapi pakai pakaian tradisional.

“Daripada kajian kami, kebanyakan yang mahu berubah apabila berumur lingkungan 50 tahun ke atas,” katanya.

Jangan label individu

Didikan keluarga adalah di antara paling penting bagi mengelakkan golongan LGBT ini merebak dalam masyarakat.

Christine berkata, disebabkan itu, ibu bapa termasuk guru perlu melarang anak-anak kecil dari melabel seseorang seperti pondan atau lembut.

“Apabila seseorang individu itu dilabel sedemikian mungkin peratusan untuknya menjadi sedemikian tinggi, kalau boleh, sebaiknya elakkan label melabel sejak kecil,” katanya.

Melalui kajian dilakukan FHDA, pada 2012 sebanyak 396 rekod mencatatkan golongan lelaki mengadakan hubungan seks dengan lelaki (gay).

Sementara itu, pada 2013 sehingga kini, didapati seramai 220 individu yang terlibat.

Kedua-dua mereka ditemui ketika Forum Seksualiti Remaja yang bertajuk ‘Remaja Tergoda, Maruah Ternoda’ di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Pulau Pinang yang dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Pulau Pinang (LPPKN).

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");