Berita Hari Ini

Majlis taubat tetap akan diadakan

MAJLIS TAUBAT

RAWANG – Satu majlis taubat melibatkan ahli Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) diketuai pengerusi, Hatijah Aam atau dikenali Ummu Jah akan diadakan dalam satu masa yang akan ditetapkan kelak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin berkata, perkara itu telah dibincangkan melibatkan Jais, Majlis Fatwa dan beberapa pihak berkaitan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan wartawan berkenaan kekeliruan apabila pelupusan bukti dilakukan sebelum majlis taubat dilakukan semalam.

Menurutnya, isu pelupusan barangan terlarang termasuk buku ‘45 tahun Perjuangan Abuya’ dan majlis taubat adalah dua isu berbeza.

“Pelupusan lebih 10,000 buku bernilai RM50,000 yang dilakukan pada hari ini adalah inisiatif pihak GISB untuk mengisytiharkan kembali taat kepada fatwa.

“Sementara tindakan mahkamah dan pengumuman majlis taubat tetap akan dilakukan namun mengambil masa yang lama kerana perlu melengkapkan siasatan, mengumpul bukti dan maklumat serta beberapa prosiding berkaitan,” katanya selepas selesai majlis pelupusan barangan terlarang yang diadakan di kawasan GISB di Bandar Country Homes, semalam.

Katanya, beliau berpuas hati dengan langkah yang diambil oleh pihak GISB untuk meyakinkan Jais dan masyarakat untuk berubah serta bertaubat.

“Ajaran Aurad Muhammadiah sememangnya haram kerana melanggar fatwa yang ditetapkan mufti dan barangan terlarang termasuk buku telah dihapuskan serta akan dilakukan secara berperingkat.

“Majlis pada hari ini hanya melibatkan pelupusan barang terlarang dan tiada sebarang makluman berkenaan pengharaman GISB,” katanya.

Sementara itu, Ummu Jah berkata, permasalahan yang merunsingkannya sejak awal September lalu diharapkan dapat berakhir selepas mengambil keputusan untuk kembali taat kepada kerajaan.

“Maka pada hari ini (semalam) di hari pertama tasyrik Aidiladha, saya dan ahli GISB mengisytiharkan untuk menerima fatwa dan kembali patuh kepada kerajaan Malaysia khususnya Jakim, Jais dan Majlis Fatwa.

“Dan jika ada dalam kalangan ahli GISB ingkar maka mereka bukan lagi pekerja syarikat sama ada dalam mahupun luar negara,” katanya.

Ummu Jah berkata, beliau mengakui kesilapan yang telah dilakukan kerana beranggapan isu ajaran Aurad Muhammadiah dipengaruhi oleh campur tangan politik sehingga diberikan penerangan oleh pihak Jais dalam beberapa pertemuan melibatkan kedua-dua belah pihak.

Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan Ummu Jah dan ahlinya mengumumkan untuk kembali taat kepada fatwa dan meninggalkan ajaran Aurad Muhammadiah.

Dalam kenyataannya sebelum ini, meminta masyarakat memberi peluang dan masa kepadanya dan ahli GISB untuk membuktikan mereka benar-benar ingin berubah.
Namun katanya, masa diperlukan memandangkan jumlah keanggotaannya yang terlalu ramai.

Beliau turut berbesar hati sekiranya terdapat dalam kalangan NGO yang sedia membantu mereka untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");