Berita Hari Ini

Malaysia negara Islam tunggal jalankan ‘bisnes’

PM NB

LONDON – ENGLAND. Malaysia merupakan negara Islam tunggal yang berjaya meningkatkan kedudukannya dan menjadi antara 10 negara terbaik dari segi mudah menjalankan perniagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Merujuk Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014 yang dikeluarkan pada Selasa, beliau berkata ia adalah hasil keberkesanan program reformasi kerajaan.

Sambil menjukkan kegembiraan beliau ke atas berita itu, Najib berkata dalam tempoh setahun, kedudukan Malaysia sudah melonjak dari tempat ke-12 kepada tempat keenam.

“Kita mesti terus kompetitif dan oleh itu pembaharuan perlu dilakukan. Kita mesti terus melakukan pembaharuan, saya gembira kerana dalam tempoh setahun, Malaysia sudah meningkat ke tempat keenam, kita satu-satu negara Islam dalam kumpulan 10 negara terbaik,” kata Najib pada sidang media selepas sesi khas ucapan pemimpin pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) kesembilan di sini pada Selasa.

Najib sebelum itu berkongsi kegembiraannya bersama 2,000 peserta forum semasa menyampaikan ucaptamanya.

Dalam laporan Bank Dunia itu, Malaysia melonjak ke tangga keenam dari segi mudah menjalankan perniagaan dari tempat ke-12 sebelum ini dalam kalangan 189 ekonomi.

Menyentuh mengenai cabaran domestik yang mungkin dihadapi Malaysia berdasarkan ketidaktentuan global pada masa depan, beliau berkata masalah yang dihadapi oleh kerajaan tidak banyak berbeza dengan negara lain dan kerajaan perlu terus meningkatkan pertumbuhan.

“Kita perlu memastikan dasar kita menjurus kepada pertumbuhan yang lebih besar dan pada masa yang sama ia perlu mengukuhkan fiskalnya. Itu penting memandangkan pertumbuhan perlu mampan dan bukan hanya untuk setahun dua,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Selain itu, Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menjaga kebajikan rakyat.

Sebagai contoh, katanya dalam pada kerajaan mengurangkan subsidi, ia akan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk kesejahteraan rakyat.

Najib kemudiannya turut menyaksikan majlis menandatangani tiga perjanjian antara syarikat Malaysia, termasuk perjanjian pembiayaan hartanah antara Tabung Haji, Maybank Islamic, Standard Chartered Saadiq dan OCBC Al-Amin.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");