Berita Hari Ini

Malaysia perlu ramai saintis

AHMAD SHABERY CHEEK

KEMAMAN – Malaysia memerlukan lebih ramai saintis data dalam usaha menjadikan negara ini sebagai pusat pengurusan data, dalam usaha memacu negara mempelopori peluang-peluang ekonomi baharu di peringkat global.

Selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna dalam sektor teknologi maklumat (IT), Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata negara perlu melahirkan ramai saintis data bagi memacu negara sebagai peserta utama dalam perkembangan terkini pembangunan industri IT itu.

“Pendidikan mesti menjurus ke arah itu, sebelum ini kita hantar anak muda kita untuk menjadi jurutera, ahli kimia, jurutera mekanikal membaiki kapal terbang.

“Belum ada cadangan lagi untuk kita hantar pelajar kita menjadi saintis data secara besar-besaran, dan kita perlu lakukannya kini,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini.

Beliau berkata jika di Amerika Syarikat, peneraju utama di Silicon Valley, San Francisco dilihat memerlukan kira-kira 200,000 lagi saintis data, maka Malaysia juga perlu serius melahirkan ramai saintis data jika mahu menjadikan negara ini sebagai pusat pengurusan data global.

“Saintis data ini merupakan satu bidang yang baharu, (bidang yang) pelik tapi InsyaAllah kalau dapat kita selaraskan kerjasama antara kementerian Pendidikan dan sebagainya (kementerian berkaitan), usaha melahirkan saintis data akan berjaya,” katanya.

Beliau berkata pengurusan data merupakan satu prospek baharu yang perlu diberi perhatian serius dalam industri global masa kini.

Ahmad Shabery berkata Malaysia berpotensi besar menjadi pusat pengurusan data berikutan kemampuan unik negara yang mempunyai kawasan luas, infrastruktur yang sesuai dan insentif daripada kerajaan.

Beliau berkata terdapat negara-negara tertentu menghadapi kekangan dalam penyimpanan dan pengurusan data, sebaliknya Malaysia mampu menjadi pusat pengurusan data berdasarkan kemampuan sedia ada.

“Space (ruang) untuk penyimpanan data ini kebiasannya sebesar lima padang bola sepak, negara Singapura misalnya, mereka tidak mempunyai ruang sedemikian, malah di negara Jepun misalnya, banyak data mereka rosak akibat gempa bumi, banjir besar, jadi mereka mencari tempat untuk penyimpanan data itu, danMalaysia dilihat menjadi pilihan untuk menjadi pusat pengurusan data ini,”

Beliau berkata dalam lawatan perdana menteri ke Silicon Valley di San Francisco baru-baru ini dan mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) itu, Perdana Menteri melihat pentingnya usaha berterusan dilakukan bagi mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dengan mempertingkatkan keupayaan dalam bidang sains dan inovasi.

Ahmad Shabery berkata budaya kerja di Silicon Valley itu bukan sahaja meliputi aspek ‘perkakasan’ tetapi juga aspek ‘perisian’, iaitu aspek budaya tentang bagaimana sesuatu perkara itu digabungkan bersama, dan mewujudkan hubungan antara perorangan dengan komuniti IT, bersama pelabur dan komuniti saintifik di Amerika.

“Semua data yang kita gunakan dalam internet, google, youtube, GPS, WhatsApp dan sebagainya, data itu disimpan, dianalisis dan menjadi nilai yang tersendiri,” katanya.

Beliau berkata menerusi data itu, atau dikenali sebagai ‘big data’, dianalisis bagi mewujudkan peluang-peluang ekonomi baharu.

“Saya difahamkan mereka membelanjakan 200 hingga 300 bilion dollar AS untuk program big data begitu juga di United Kingdom, Australia dan sebagainya (di negara-negara maju), jika Malaysia mahu mendahului dan menjadi peserta utama, kita mesti membuat persiapan big data ini,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya saintis data, data-data itu dapat dianalisis dan membantu untuk tujuan memenuhi keperluan masyarakat global dalam pelbagai bidang meliputi aspek pendidikan, perubatan, sosial dan sebagainya.

Ahmad Shabery berkata dalam lawatannya ketika mengikuti perdana menteri ke Silicon Valley itu, ramai usahawan di sana telah berjaya kerana mampu menganalisis data itu dan seterusnya mengaplikasikannya dalam bentuk atau produk atau perkhidmatan yang bersifat global.

“Kemunculan anak-anak muda berusia 20-an, sudah menjadi billionare seperti pengasas Facebook dan Twitter misalnya, dan setiap hari ada sahaja idea baharu hasil analisis mereka terhadap data-data ini,” katanya.

Malaysia katanya, perlu melihat pentingnya saintis data dalam usaha mentransformasikan negara ini dalam arus pembangunan global masa kini.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");