ROBERTO Mancini menganggap keputusan seri 2-2 dengan Juventus dalam saingan Liga Juara-juara semalam sebagai permulaan yang baik buat dirinya selepas kembali membimbing apabila hampir empat bulan tidak melibatkan diri dalam kejurulatihan.
Selasa lalu, bekas pengurus Manchester City itu dilantik sebagai pengendali baru Galatasaray bagi menggantikan bekas pengurus yang disingkirkan minggu lalu, Fatih Terim.
Mancini mengikat kontrak selama tiga tahun bersama kelab Turki itu.
Pengurus berusia 48 tahun itu berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya dan yakin bahawa masa depannya di Turki agak cerah.
“Tidak banyak yang boleh saya lakukan dalam masa dua hari. Malah saat ini saya masih belum mengingati nama pemain-pemain saya.
“Tapi dengan masa dua hari, saya rasa ini satu permulaan yang baik dan kita boleh pergi jauh lagi,” katanya.