Perak Hari Ini

Mangsa Banjir Ingin Segera Pulang Ke Rumah

“Ketika ini, fikiran saya banyak berlegar tentang kesan dan kedaaan rumah yang ditenggelami air banjir sejak empat hari lalu,” demikian luah Norashidah Halip, salah seorang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan SK Sungai Batu, dekat Pantai Remis.

Mengulas mengenai bantuan kilat yang diterima, semua mangsa katanya, menerima bantuan yang mencukupi seperti makanan dan barangan keperluan.

“Alhamdullilah, semua bantuan yang diterima setakat ini mencukupi cuma beberapa keperluan seperti selimut agak terhad,” katanya lagi.

Norashidah turut menjelaskan keinginannya cukup menebal untuk pulang ke rumahnya bagi melihat sendiri keadaan rumah yang ditenggelami banjir.

Beliau turut meluahkan rasa terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan mesin jahit yang menjadi sumber mata pencariannya selama ini.

Akibat hujan lebat, paras air naik hingga ke paras pinggang pada lewat malam Sabtu hingga menyebabkan penduduk dari Kampung Sungai Batu dan Taman Pantai Wang terpaksa dipindahkan, katanya.

“Bagi saya, apa yang lebih penting kesemua ahli keluarga saya selamat dalam musibah ini,” katanya kepada Peraktoday.com hari ini.

Norasidah meletakkan harapan agar cuaca kembali cerah dan banjir surut dengan cepat bagi membolehkan kesemua mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Suria Ahmad, 44, turut runsing memikirkan keadaan rumah yang ditinggalkan sejak empat hari yang lalu.

Selain itu, Suria turut menyuarakan rasa sedih kerana tidak sempat menyelamatkan barangan berharga kerana kejadian itu berlaku secara mendadak.

“Makan pakai memang mencukupi di sini,” kata ibu tunggal itu sambil berharap dapat pulang ke rumah dengan segera.

“Saya fikirkan barangan rumah yang sudah rosak dan bagaimana untuk saya dan keluarga mulakan hidup kembali selepas dilanda banjir,”  ujar Suria lagi.

Biarpun berhadapan dengan kesukaran saat ini, namun Suria tetap positif dan menegaskan nyawa itu lebih penting dan utama daripada kerosakan harta benda yang dialami akibat banjir.

Sehingga jam 4 petang tadi, seramai 1,068 mangsa banjir masih ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir iaitu 674 orang di SK Sungai Batu, Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kampung Padang Serai (108); Taman Bintang (204) dan Dewan Orang Ramai Kampung Tebuk Yan (82).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");