Gadis nakal Hollywood, Miley Cyrus, mempunyai cara tersendiri untuk melupakan memori lalu apabila mendermakan semua pakaian bekas tunangnya, Liam Hemsworth, kepada pertubuhan amal.
Secara simbolik, dia mahu melupakan semua kenangan bersama insan yang pernah disayanginya. Mereka berpisah sekitar bulan lalu, malah Liam Hemsworth sudah bertemu kekasih baru yang juga model kelahiran Mexico, Eiza Gonzalez.
Sumber memaklumkan, tiada satu pun barang milik Hemsworth tinggal di rumah agamnya di Los Angeles. Sebuah van yang mempunyai lambang rumah amal dilihat berada di perkarangan kediaman pelantun lagu Wrecking Ball itu pada 20 September lalu.
“Saya harap Liam tidak memerlukan barangan yang sudah didermakan itu kerana Miley tidak pernah pun meminta kebenarannya. Pemberian berkenaan memberi manfaat kepada penghidap HIV dan AIDS,” akui rakan terdekat.
Nyata gadis yang baru berusia 20 tahun itu sedia untuk melangkah ke depan biarpun ramai teman terdekat mengakui, hatinya hancur berdepan perpisahan. Tetapi, tindakan mendermakan barangan yang mengingatkannya kepada bekas tunang dilihat sangat tepat.
Hemsworth dan Cyrus keluar bersama pada Jun 2009 selepas terbabit dalam filem The Last Song. Mereka dipercayai berpisah seketika sekitar Ogos 2010 sebelum berbaik semula dan mengumumkan pertunangan pada Jun 2012.
Terkini, dikhabarkan Cyrus diajukan tawaran RM3 juta oleh sebuah laman web yang terkenal dengan permainan lucah. Dia diminta mengarahkan sebuah video untuk hiburan golongan dewasa.
-Berita harian