Berita Hari Ini

Muhyiddin Sokong Sekolah Pondok Dijadikan Sekolah Bantuan Kerajaan

tpm mugshotYAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu menyokong penuh usaha untuk menjadikan sekolah pondok sebagai sekolah bantuan kerajaan.

“Saya sokong 100 peratus sekolah pondok dijadikan sekolah bantuan kerajaan untuk kukuhkan institusi pendidikan Islam kita,” katanya pada Program Ramah Mesra Bersama Imam, Guru-Guru Kelas Al-Quran dan Penduduk Sungai Dedap di Sekolah Kebangsaan Sungai Dedap, Sungai Limau dekat sini, Sabtu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata semua usaha membangunkan sistem pendidikan, termasuk pendidikan Islam, dilaksanakan kerana kerajaan mahu melihat rakyat negara ini menjadi manusia berjaya di dunia dan akhirat.

Tambahnya, peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu sekolah agama rakyat (SAR) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2014 semalam, membuktikan kesungguhan kerajaan membangunkan sistem pendidikan Islam, termasuk sekolah pondok.

Muhyiddin berkata selain itu kerajaan juga membuka peluang seluas-luasnya kepada pendidikan Islam dibangunkan di negara ini.

Malah, katanya, Malaysia sudah menjadi negara contoh dalam banyak perkara termasuk dalam soal pembangunan pendidikan Islam.

Menyentuh mengenai bantuan untuk sekolah agama rakyat di Kedah, Muhyiddin berkata malah semasa kerajaan negeri di bawah pemerintahan PAS, Kerajaan Pusat tetap memberikan bantuan kepada sekolah agama rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Limau.

Kini, lebih 7,000 pelajar di tujuh maahad tahfiz dan sekolah agama di kawasan itu diberikan bantuan makanan, yang melibatkan peruntukan lebih RM35 juta katanya.

“Ia masih diteruskan oleh kerajaan negeri, diletakkan di bawah Yayasan Darul Aman. Kita tidak pernah tanya status mereka, Umno ke PAS ke. Yang penting Islam,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata kerajaan sentiasa mengajak umat Islam dan ulama negara ini supaya bersatu walaupun berbeza ideologi politik.

“Ada kata Umno dan PAS tak boleh bersatu. Saya kata Umno bersedia sampai bila-bila nak bersatu. Sebab itu semasa Tan Sri Azizan (bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak) meninggal dunia kita beri penghormatan kepada dia,” katanya.

“Sebagai orang Islam tidak ada masalah bagi kita. Biar berbeza pandangan dan idelogi politik tetapi Islam kita tidak berbeza. Apa yang beza antara Umno dan PAS, cuma dia pakai hijau, kita pakai biru,” kata Muhyiddin.

Beliau turut mengajak tokoh-tokoh agama dan guru-guru Kafa supaya bekerjasama dengan kerajaan sebagai pasukan yang mantap untuk membimbing anak-anak bangsa ke masa depan yang lebih berjaya.

Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM118,000 kepada Persatuan Guru Kafa Daerah Yan, Persatuan Pegawai Masjid Daerah Yan dan Persatuan Guru Tahmir Daerah Yan.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");