Berita Hari Ini

Najib ke London, Manchester esok

najib

LONDON – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja ke London dan Manchester mulai Ahad (27 Okt) hingga Khamis depan, bagi menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) kesembilan di sini, selain menghadiri program kesukarelaan dan menemui rakyat Malaysia.

Najib yang juga Menteri Kewangan akan menggunakan kesempatan itu untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya David Cameron, yang turut menghadiri WIEF, bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom.

Selain Cameron, Najib akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan ketua negara atau ketua kerajaan yang lain yang turut menghadiri WIEF, kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini.

Edisi kesembilan WIEF, yang pertama kali diadakan di luar negara Islam, dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan UK dan Yayasan WIEF Malaysia.

Seramai 16 ketua negara atau ketua kerajaan sudah mengesahkan kehadiran masing-masing ke forum itu, termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Afghanistan Hamid Karzai, Presiden Kosovo Atifete Jahjaga dan Presiden Bank Pembangunan Islam Dr Ahmad Mohamed Ali, yang juga Felo Kehormat Yayasan WIEF.

Bertemakan ‘Mengubah Dunia, Hubungan Baharu’, forum ini dijangka dihadiri hampir 2,000 peserta.

Pada hari pertama forum, Najib sebagai penaung, akan menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan serta menjadi hos Jamuan Tengah Hari Pemimpin serta Malam Gala untuk peserta.

Putera Wales, Putera Charles dijangka menghadiri malam gala itu.

Pada hari kedua WIEF, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan pada acara anjuran Agensi Inovasi Malaysia selain mengadakan beberapa siri pertemuan dengan masyarakat perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin serta para pegawai dari kementerian dan agensi berkaitan.

WIEF, yang diadakan setiap tahun, merupakan platform perniagaan bertaraf dunia yang mengetengahkan peluang-peluang perniagaan dalam dunia Islam.

Berikutan lawatan Perdana Menteri hampir menjelang sambutan Deepavali, beliau dan Rosmah juga akan menggunakan kesempatan itu untuk menghadiri Sambutan Deepavali 1Malaysia anjuran masyarakat Malaysia di London.

Selain itu, beliau juga akan melawat Manchester.

Di sini Najib dan isteri akan mengambil bahagian dalam program kesukarelaan 1M4U selain bertemu rakyat Malaysia di bandar raya itu yang terkenal dengan pasukan bola sepaknya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");