Berita Hari Ini

Negara Islam perlu fokus ekonomi wanita

PM SALAM UK

LONDON – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggesa negara Islam meningkatkan lagi usaha memperkasa ekonomi wanita dan menekankan pentingnya peranan mereka dalam membangunkan ekonomi negara lebih mampan.

Beliau berkata pemerkasaan ekonomi wanita boleh membuka ruang untuk meningkatkan produktiviti, meningkatkan keputusan korporat serta mengukuhkan ekonomi ketika negara mengenal pasti model pertumbuhan baharu dan lebih mampan.

“Untuk menjayakannya kita mesti menangani antara ketidaksaksamaan, yang menghalang kemakmuran dan menjejaskan pembangunan. Sudah sampai masanya untuk memberi kedudukan dan peranan penting kepada wanita dalam pertumbuhan ekonomi global,” katanya dalam ucapan pembukaan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) kesembilan bermula hari ini.

Najib yang juga penaung Yayasan WIEF berkata, semua negara berpeluang meraih manfaat daripada usaha memperkasa ekonomi wanita.

Beliau berkata, bagi masyarakat semakin berusia, ia mendorong tenaga kerja dan bagi negara miskin, ia mewujudkan impak positif ke atas pendidikan, kesihatan dan pembangunan.

“Bagi negara maju, ia meningkat produktiviti dan mengimbangi semula pertumbuhan,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Untuk menanganinya, Najib menyebut tiga bidang – pendidikan, penyertaan tenaga kerja dan kepelbagaian korporat – yang membolehkan negara bergantung kepada potensi ekonomi sebenar wanita.

“Dengan memberi pendidikan kepada anak gadis dan wanita, meningkatkan penyertaan mereka dalam tenaga kerja dan memastikan peluang terbesar terbuka untuk semua, kita boleh mengukuhkan syarikat, ekonomi, dan prospek untuk masa depan,” katanya.

Najib berkata, penglibatan wanita yang lebih besar mampu merealisasikan pertumbuhan lebih baik, lebih berdaya saing dan pembangunan manusia lebih baik.

Beliau berkata, Malaysia menetapkan sasaran tinggi, 30 peratus pengurusan kanan yang membuat keputusan dan sebagai anggota lembaga pengarah, dan, dalam tempoh dua tahun, angka itu meningkat tiga kali ganda purata global dan lebih sekali ganda angka di Amerika Syarikat, tidak jauh daripada peneraju dunia, Norway.

Najib berkata, kemahiran membuat keputusan dan kesedaran terhadap risiko yang sangat berguna dalam dunia korporat perlu diamalkan dalam sektor awam.

“Semasa mengambil alih jawatan (perdana menteri) empat tahun lepas, hanya 18 peratus jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam Malaysia, namun menerusi dasar sokongan dan latihan, angkanya meningkat kepada 33 peratus,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");