Perak Hari Ini

Bajet 2014: Pandangan Rakyat, Analisis Struktur Ekonomi Perlu Diambil Kira

IMG_0445

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan Perak akan mengambil kira pandangan rakyat dan menilai struktur ekonomi negeri itu sebelum merangka Bajet 2014 yang dijadual dibentangkan pada penghujung November nanti.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, hari ini, beliau memberitahu suara dan pandangan rakyat perlu diambil kira oleh kerajaan bagi mengenalpasti kehendak atau keperluan mereka.

“Kita sedang mendengar taklimat dan berbincang tentang Bajet 2014 yang mungkin dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang iaitu pada penghujung November.

“Selain itu, kita di pihak kerajaan negeri turut memberi ruang kepada rakyat serta pertubuhan untuk menyuarakan pandangan mereka, sekaligus dapat membantu kita menyiapkan bajet tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, tinjauan serta analisis perlu dilaksanakan bagi mengelak negeri itu terperangkap dalam keadaan yang sukar ditangani.

“Kita tidak mahu terperangkap dalam keadaan di mana kita bersaing untuk memberi khidmat yang terbaik tetapi di luar kemampuan kerajaan.

“Fenomena sebegini sudah berlaku di seluruh dunia tanpa disedari hingga menjurus kepada persaingan tidak sihat antara negara itu sendiri,” tegasnya lagi.

Beliau turut menjelaskan istilah baru ‘the revolution of the rising expectation’ bagi menggambarkan fenomena tersebut yang akhirnya kesan akan terpalit kepada rakyat negara itu sendiri.

Lantaran itu, tegas Zambry, beliau akan memberi sepenuh perhatian terhadap konteks penyediaan bajet yang berasaskan kepada kemampuan serta sumber negeri yang ada.

“Kita tidak mahu negeri menjadi kucar-kacir seperti negara-negara luar yang tidak mampu memenuhi keperluan rakyat hingga menimbulkan rusuhan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");