Jenayah

Peluru sesat: Bapa kanak-kanak kecewa

NOLEE

IPOH – Mangsa peluru sesat, Mohd Amar Mohd Azizi, 10, dijangka dibenarkan pulang dalam tempoh dua atau tiga hari selepas melalui pembedahan mengeluarkan peluru di kerongkongnya, kelmarin.

Bapanya, Mohd Azizi Abdullah, 48, bagaimanapun memberitahu, anak bongsunya itu masih trauma.

“Kami gembira apabila dia selamat menjalani pembedahan. Doktor nasihatMohd Amar diberi air dingin supaya tidak menjejaskan luka dalaman.

“Kami ahli keluarga pun tidak banyak bertanya mengenai kejadian itu, tetapi memberi dia semangat supaya cepat pulih,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Pada masa sama, menurutnya, dia kecewa apabila tiada seorang pun wakil anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes itu menemui keluarganya untuk menyatakan rasa simpati atau meminta maaf.

Dalam kejadian14 Oktober lalu, seorang polis berpangkat sarjan didakwa sedang membersihkan pistol di tangga rumah mertuanya di Kampung Belanja Kiri, Parit, dipercayai tertekan picu senjata itu dan pelurunya mengenai Mohd Amar yang berada kira-kira 40 meter dari tempat tersebut.

Sementara itu, sekumpulan doktor pakar diketuai Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Jabatan Neurosurgeri, Dr Cheang Chee Keong dilaporkan menggunakan kaedah ‘endoscope’ bagi mengeluarkan peluru berkenaan.

Dr Chee Keong berkata, Mohd Amar perlu memakai pendakap leher selama beberapa bulan akibat terdapat retakan pada tulang lehernya.

“Mohd Amar perlu buat rawatan susulan dan pemantauan berterusan dalam masa dua bulan bagi menstabilkan lehernya. Saya jangka tiada pembedahan diperlukan selepas ini.

“Keadaan Mohd Amar dilihat masih trauma. Semua pihak diminta untuk tidak mengganggunya,” katanya pada sidang media dikendalikan oleh Exco Kerajaan Negeri, Nolee Ashilin Mohd Radzi, di sini.

Menurutnya, kejayaan pembedahan berisiko tinggi melibatkan beberapa pakar dari Jabatan Neurosurgeri dan Otorinolaryngiologi (ENT) serta Anaestesiologi, diadikann sebagai satu kajian (study case).

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");