Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Zubir Zabidi menyifatkan desakan pembangkang agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau sebelum pengumuman Bajet 2014 pada 25 Oktober nanti sebagai provokasi awal.
Sambil menyifatkan desakan itu sebagai “gelabah biawak”, beliau berkata ia hanya memperlihatkan pembangkang seperti mencipta skrip awal bagi mencari alasan sekiranya mereka tewas dalam pilihanraya kecil itu nanti.
“Ini semua taktik biasa pembangkang. Tiada satu pun yang betul. Mereka hanya senyap bila sudah menang. Ini memang perangai pembangkang dan skrip pilihanraya ini akan berulang-ulang pada bila-bila masa.
“Bagi kita segala-galanya terserah kepada SPR. BN sentiasa bersedia dan kita serahkan segala-galanya pada kebijaksanaan pengundi,“ katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Alor Setar seterusnya yakin BN mampu merampas DUN Sungai Limau dari tangan Pas berdasarkan kepada sokongan semasa penduduk setempat setelah melihat pentadbiran baru apabila BN mengambil alih negeri tersebut pada pilihan raya umum yang lalu.
Sambil mengakui ianya pertembungan yang sengit, beliau menambah perubahan yang dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Muhkriz Tun Mahathir tentunya mahu dirasai oleh penduduk Sungai Limau.
“Dan tentunyalah atas dasar tersebut pengundi dan penduduk kawasan berkenaan tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama dengan perubahan yang akan dibawa oleh kepimpinan baru hari ini.
“Sengit memang sengit kerana mereka pun pasti mahu mempertahankan kemenangan. Tetapi segala-galanya terletak kepada pengundi di kawasan tersebut. Mereka sudah boleh melihat dan menilai bagaimana pentadbiran baru hari ini,” ujarnya.
Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada 26 September lalu akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.
Bekas Menteri Besar Kedah itu memenangi DUN Sungai Limau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan majoriti 2,774 undi.
-MediaUMNO