Isu Panas

Pembangkang Jangan Eksploitasi Isu GST – Muhyiddin

GST

Pembangkang diingatkan supaya tidak mengeksploitasi dan mempolitikkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) demi kepentingan politik mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat tidak seharusnya dikelirukan dengan fakta yang salah mengenai GST khususnya mengenai kumpulan yang bakal menerima kesan perlaksanaannya.

“Saya percaya rakyat tidak akan termakan dengan dakyah negatif yang hendak dibawa oleh pihak pambangkang mengenai GST.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah mengambil kira kumpulan tertentu yang dikatakan mungkin menghadapi impak yang agak besar sedikit.

“Sebab itu ada banyak barangan harian yang tidak dikenakan GST, jadi bagi masyarakat yang berpendapatan rendah, semua ini dikecualikan. Ia bermakna kesannya tidak begitu besar kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Perhimpunan Peladang, Penternak dan Nelayan Mada di Yan, Sabtu.

Isu perlaksanaan GST yang diumumkan kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2014 pada Jumaat mula menjadi modal kempen pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Menerusi ceramah pembangkang, mereka mendakwa perlaksanaan GST bakal membebankan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Mengulas lanjut sama ada pelaksanaan GST akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi DUN Sungai Limau daripada PAS Muhyiddin berkata, ia hanya akan memberi kesan sekiranya rakyat gagal untuk memahami keputusan kerajaan itu.

Bagaimanapun katanya, jentera BN bersedia menjelaskan mengenai keperluan GST serta kesan yang akan dihadapi rakyat melalui perlaksanaannya.

“Ia hanya akan memberi kesan kalau mereka fikir kena bayar cukai lebih. Tapi kedudukan sebenar ialah ada di antara mereka yang tidak dikenakan cukai ini kerana sebahagian besar barang keperluan itu tidak dikenakan apa-apa GST.

“Pengundi di sini yang diikategorikan sebagai golongan yang berpendatan kecil dan sederhana turut disediakan bantuan tambahan untuk bantu mereka seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan sebagainya. Jadi impak kepada kumpulan ini agak minimum atau tiada langsung,” katanya.

Menerusi Bajet 2014, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan melaksanakan GST bermula 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Menurut Najib, GST bukan cukai tambahan baru, sebaliknya satu sistem percukaian menyeluruh dan saksama yang perlu dilaksanakan bagi manfaat seluruh rakyat.

GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas seperti beras, gula garam, tepung, minyak masak serta bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

GST juga katanya tidak akan dikenakan ke atas perkhidmatan disediakan kerajaan seperti pengeluaran passport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah serta perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya di samping perkhidmatan pendidikan.

– mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");