Isu Panas

Pemilihan Sayap UMNO: Langkah Pertama Ke Arah Melengkapkan Transformasi

khairy

UMNO telah lama membela Melayu dengan memberi berbagai tongkat serta membina benteng pertahanan agar bangsa ini dapat berdiri teguh dan terus hidup di celah-celah kemajuan negara. Namun, pertolongan UMNO itu sentiasa dipandang serong sebagai berunsur rasisme dan juga kronisme.

Oleh itu, UMNO sentiasa dipaksa untuk menepis dan membela diri walaupun hakikatnya apa yang dilakukan adalah murni serta menjadi kunci keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara ini.

Walaubagaimanapun, akhir-akhir ini, UMNO dilihat semakin ‘segan’ untuk membela diri malah turut menerima tuduhan rasisme dan kronisme sebagai benar. Justeru, terdapat asakan dari dalam UMNO sendiri untuk berubah, untuk ‘transform’ atau ‘reform’ sepenuhnya agar lebih ‘relevan’ dan tidak perlu lagi ‘defensive’ atau ‘apologetic’ kepada sesiapa.

Kemenangan Khairy Jamaluddin dalam pemilihan sayap UMNO semalam dilihat sebagai isyarat jelas bahawa orang-orang UMNO sendiri sudah bersedia untuk berubah. Ini kerana Khairy Jamaluddin merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang pertama memperjuangkan pegangan liberal centrist secara terbuka.

Beberapa kali Khairy menyatakan yang beliau ingin menjadi Ketua Pemuda BN dan bukan UMNO semata-mata. Cita-cita Khairy untuk melonggarkan keMelayuan UMNO bukanlah rahsia. Malah, Khairy juga tidak segan silu mengambil seorang DAP tegar sebagai Setiausaha Akhbarnya, iaitu Regina Lee.

Rakan-rakan lama Khairy ada menceritakan bagaimana sejak dulu lagi Khairy mengimpikan ‘United Malaysians National Organisation’ untuk UMNO iaitu tiada lagi ‘Malays’ dalam prinsip perjuangannya. Ini kerana Khairy dikatakan tidak suka melihat orang-orang Melayu terus memakai tongkat kerana ia bermakna ketidakadilan terhadap kaum lain.

Di masa yang sama Khairy turut mesra PKR di mana beliau secara sukarela dan bangga menghantar passport kepada Anwar Ibrahim sejurus selepas Anwar dibebaskan suatu ketika dahulu.

Walaupun Khairy dikatakan membelakangkan kehendak akar umbi UMNO, tetapi dengan sokongan padu yang diberi kepada Khairy dalam pemilihan kali ini, membuktikan sebaliknya.

Jelas, cita-cita Khairy turut dikongsi oleh semua Pemuda UMNO di mana beliau menyapu bersih undi dalam pemilihan kali ini.

Nampaknya, Pemuda UMNO nampaknya sudah bersedia untuk melepaskan ‘tongkat’ dan bersaing secara terbuka atas lantai yang sama rata dengan bangsa lain.
Mungkin ada yang melihat perkembangan ini sebagai berbahaya kepada orang-orang Melayu dan juga kestabilan negara.

Tetapi, dari satu segi, ini mungkin merupakan satu-satunya cara untuk mengubah mentaliti orang-orang Melayu yang terlalu bergantung kepada tongkat kerajaan. Setelah puas para pemimpin kita menegur, memarahi malah menangisi nasib bangsa ini, maka sampailah masanya untuk orang-orang Melayu ‘dihukum’ kerana enggan berubah.

Walaubagaimanapun, kita harap Khairy benar-benar melakukan perubahan dengan bermula dari dalam Pemuda UMNO sendiri.

Dalam konsep liberal centrist yang didokong beliau, di mana Melayu bukan lagi ‘subjek’ utama, maka Khairy harus memastikan yang kerajaan merampas kembali semua tongkat, terutamanya yang diberi kepada kontraktor-kontraktor UMNO.

Inilah masanya kontraktor UMNO diajar untuk bersaing secara terbuka dengan kaum lain. Pemuda-pemuda UMNO wajib menunjukkan contoh kepada masyarakat Melayu tentang konsep keterbukaan yang sebenar-benarnya, serta melupakan perniagaan ‘alibaba’ kerana sistem kuota adalah rasis dan tidak sesuai lagi.

Seharusnya, Khairy tidak akan menghadapi masalah untuk melakukan semua ini kerana beliau mendapat sokongan Pemuda secara total.

Dengan cara ini, transformasi yang diilhamkan oleh Dato’ Seri Najib menjadi sempurna di mana tiada lagi kronisme, tiada lagi rasisme, dan tiada lagi Melayu bagi UMNO.

Sesungguhnya kemenangan Khairy adalah sesuatu yang tepat bagi UMNO, bangsa Melayu dan negara ini. Yang tinggal kini hanyalah perlaksanaannya sahaja iaitu di mana harus pertama sekali membuang tongkat yang diberi kepada Pemuda UMNO demi menepati konsep ‘centrist’ yang tidak lagi mengutamakan Melayu.

Bolehkah Khairy melakukannya?

– BERUANG BIRU

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");