Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berpendapat setiap calon yang bertanding pada pemilihan parti peringkat Pusat sewajarnya diberi kelonggaran berjumpa dengan perwakilan di mana-mana negeri atau bahagian di seluruh negara.
Katanya, selain sesi pengenalan secara bergerak yang bermula di Perak, hari ini, pendekatan itu dapat memberi peluang sama rata terutamanya kepada calon baru untuk memperkenalkan diri masing-masing kepada para perwakilan.
“Calon MT seharusnya boleh datang atau bergerak sendiri ke mana-mana negeri atau bahagian sekali pun untuk menemui perwakilan.
“Kita sedia maklum ada calon baru dan lama yang bertanding dan sekiranya mereka disekat untuk datang sendiri dan memperkenalkan diri, saya rasa agak sukar untuk mereka menang.
“Setiap calon MT perlu diberi ruang dan peluang mengikut sistem yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di Lekir, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, UMNO Perak katanya, mengalu-alukan kehadiran calon MT untuk menemui sendiri para perwakilan di negeri itu
“Mana-mana calon MT yang bertanding boleh datang atau turun sendiri ke negeri ini atau mana-mana bahagian sekalipun untuk menemui perwakilan dan memperkenalkan diri mereka.
“Cuma, mereka dinasihatkan agar tidak berkempen secara keterlaluan dan meletakkan diri dalam zon perang,” katanya lagi.
Perak menjadi negeri pertama sesi memperkenalkan calon yang bertanding pada pemilihan UMNO peringkat Pusat yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, hari ini.
Sesi itu dihoskan Badan Perhubungan UMNO negeri pada jam 9.30 pagi tadi di mana calon tidak dibenarkan berucap sebaliknya hanya boleh berjabat tangan serta mengedarkan risalah yang memperkenalkan diri masing-masing kepada para perwakilan.
Dua lagi sesi sama akan berlangsung hari ini iaitu di Selangor pada sebelah petang manakala Wilayah Persekutuan pada sebelah malam.